Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Berita Harian 06 April 2001

Ketua Al-Ma’unah tembak pencawang: Saksi


KUALA LUMPUR, Khamis – Ketua Persaudaraan Ilmu Dalam Al-Ma’unah, Mohd Amin Mohd Razali, menembak pencawang elektrik Lata Kekabu, Kuala Kangsar pada 2 Julai lalu untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan itu.

Timbalan Presiden Al-Ma’unah, Zahit Muslim memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Mohd Amin menggunakan senjata api GPMG (General Purpose Machine Gun) yang dipercayai dirampas dari Kem 304, Grik.

Katanya, tujuan Mohd Amin ialah untuk memutuskan bekalan elektrik supaya kawasan itu bergelap.

Bagaimanapun, menjawab soalan Timbalan Kanan Pendakwaraya Datuk Abdul Gani Patail, Zahit berkata dia tidak tahu sama ada pencawang itu adalah kabel utama bagi membekal tenaga elektrik di Perak.

“Saya ke Lata Kekabu dengan menaiki Pajero bersama-sama Mohd Amin, Kamarudin Mustafar (tertuduh kesembilan) dan Azlan Abdul Ghani (sudah mengaku salah),” katanya.

Sebelum itu, Zahit memberitahu mahkamah, Mohd Amin bersama-sama anggota Al-Ma’unah lain, keluar dari Bukit Jenalek pada 6 petang 6 Julai 2000 dengan menaiki Pajero dan pulang semula jam 6 pagi 7 Julai 2000 dengan membawa selonggok senjata api.

Zahit berkata, selama empat hari berada di Bukit Jenalek, dia yakin tentera akan bersama-sama dengan anggota Al-Ma’unah bagi membantu mereka. (Zahit dalam keterangannya semalam berkata, Mohd Amin memaklumkan perjuangan mereka akan dibantu anggota tentera)

Bagaimanapun, katanya, selepas empat hari di sana (Bukit Jenalek), dia mendapati tiada anggota tentera membantu mereka.

Katanya, selain senjata api yang dibawa ke Bukit Jenalek, ada set radio yang dipercayai dirampas oleh Mohd Amin dari kem tentera.

“Saya ada melihat Mohd Amin menggunakan set radio sebanyak dua kali iaitu kali pertama antara 10 hingga 15 minit dan kali kedua, Mohd Amin bercakap agak lama.

“Ketika itu jarak saya dengan Mohd Amin adalah kira-kira 15 kaki (kira-kira 5 meter),” katanya.

Zahit berkata, Mohd Amin juga ada menghubungi pihak tentera melalui set radio itu dengan memanggil seperti berikut ‘kosong kepada kelompok alamat’.

Dia menafikan Mohd Amin ada menyatakan kepada tentera melalui set radio itu yang dia akan mewujudkan negara Islam melalui jihad.

Ditanya mengapa dia tidak meninggalkan Bukit Jenalek selepas mengetahui tujuan Mohd Amin, Zahit berkata dia keliru disebabkan kepercayaan dan taat setianya kepada Mohd Amin.

Zahit juga mengaku, ketika di Bukit Jenalek, dia bersama-sama Jamaludin Darus (tertuduh ketiga) dan Ibrahim Dris (tertuduh keempat) ada melatih anggota Al-Ma’unah menggunakan senjata api.

“Pada 29 Jun, kira-kira 5 petang, saya ada membawa Mohd Amin ke sebuah kedai di Jalan Tokong, Ipoh, untuk menempah nombor pendaftaran kenderaan tentera sebanyak enam keping.

“Pada 30 Jun, saya membawa Mohd Amin ke Jalan Tokong untuk membeli cat,” katanya.

Dia memberitahu mahkamah, enam nombor pendaftaran itu adalah untuk digunakan pada tiga kenderaan Pajero yang mereka miliki. Semua kenderaan itu dicat hijau di sebuah rumah sewa di Kati, Perak. Ia dicat oleh Shahidi Ali (sudah mengaku salah) dan seorang anggota Al-Ma’unah bernama Roslan.

Sebaik saja Abdul Gani selesai menyoal balas Zahit, peguam Zabidi Mohamed, memohon supaya kes itu ditangguhkan seminggu atau sehingga Rabu depan, kerana timbul isu baru dalam soal balas pendakwa.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membenarkan perbicaraan kes itu disambung pada Selasa depan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi