Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 April 2001

Polis lipatgandakan usaha banteras jenayah

SHAH ALAM 9 April - Polis akan memastikan kadar jenayah di kawasan setinggan terkawal dengan melipatgandakan usaha membanteras kejadian tidak sihat di kawasan itu daripada terus merebak ke kawasan sekitarnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mangsor Ismail berkata, ini tidak bermakna jenayah hanya berlaku di kawasan penempatan setinggan semata-mata, kerana polis turut menumpukan setiap kawasan yang didapati banyak berlaku kejadian jenayah.

``Tak kira sama ada ia setinggan atau kawasan perumahan mewah sekalipun, polis akan mengadakan kawalan dan pemantauan mengikut maklumat dan kejadian jenayah yang berlaku,'' katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.

Beliau memberitahu, kadar jenayah yang berlaku di kawasan setinggan bergantung kepada kawasan penempatan yang tertentu.

Ditanya mengenai kes jenayah setinggan yang berlaku di luar kawalan pihak polis, Mangsor berkata, kemampuan pihaknya mewujudkan kehadiran mereka di sesuatu kawasan, hanya bergantung kepada jumlah keanggotaan yang ditempatkan di balai-balai berhampiran.

``Walaupun begitu, dalam situasi tertentu, operasi yang melibatkan anggota-anggota luar sememangnya sentiasa diadakan,'' ujar beliau.

Selain itu, Mangsor berkata, kerja sama daripada orang ramai juga amat diharapkan untuk menyalurkan maklumat kepada balai-balai polis berhampiran jika berlaku gejala tidak sihat.

Menyentuh mengenai indeks jenayah di kawasan setinggan, beliau memberitahu, sejumlah 40 jenis kes pelbagai jenis kesalahan telah dilaporkan berlaku di seluruh negeri Selangor sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

``Daripada jumlah itu, jenayah kekerasan mencatatkan sejumlah 13 kes manakala selebihnya pula ialah kes jenayah harta-benda,'' kata beliau.

Jelas beliau, sepanjang tahun lalu, sejumlah 727 kes jenayah telah dicatatkan di kawasan penempatan setinggan, termasuk jenayah kekerasan sebanyak 227 kes dan selebihnya iaitu 500 kes ialah jenayah harta benda.

Menurut Mangsor, persekitaran serta susun atur penempatan setinggan memudahkan berlaku pelbagai kes-kes jenayah.

``Apabila wujud satu kawasan penempatan yang yang padat dengan pelbagai latar belakang masyarakat termasuk pendatang asing, tidak mustahil ia akan menjadi tempat perlindungan atau `sanctuary' kepada mereka yang terlibat dengan jenayah,'' katanya.

Tambah beliau, kepadatan hidup di setinggan ini juga menyebabkan wujud pelbagai tekanan dan akhirnya akan timbul pergeseran penyatuan yang mengundang kepada berlaku gejala tidak sihat.

Mangsor menambah, sebagai langkah menjaga keamanan, polis akan bersedia memberi tumpuan yang lebih kepada semua kawasan baik setinggan mahupun lain-lain kawasan yang dikenal pasti bermasalah dengan kadar jenayah yang ketara.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi