Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 11 April 2001

Pesawat terhempas: Pelatih TUDM disyaki maut

ALOR SETAR 10 April - Seorang juruterbang pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai terkorban apabila pesawat latihan Pilatus PC7 yang dipandunya terhempas di dalam sawah di Kampung Kepala Parit Dalam, Mukim Bukit Raya, Pendang dekat sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Roslan Salam berkata, kejadian itu berlaku ketika pelatih juruterbang yang belum dikenali itu dalam latihan penerbangan solo pada pukul 4.06 petang.

``Pesawat itu tidak meletup, tetapi menjunam ke dalam lumpur sehingga ke bahagian kokpitnya,'' jelas beliau dalam kenyataan yang dihantar ke Pejabat Utusan di sini.

Berikutan nahas itu, menurut Roslan, pasukan penyelamat sehingga petang ini sedang bertungkus lumus menarik keluar pesawat itu bagi menyelamatkan mangsa yang dipercayai terperangkap.

Katanya, kali terakhir juruterbang pelatih itu menghubungi menara kawalan pada pukul 3.38 petang.

Tambahnya, TUDM akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi menyiasat punca kemalangan itu.

Sementara itu tinjauan Utusan mendapati serpihan pesawat latihan itu berselerak di tempat ia terhempas di dalam sawah yang dipenuhi air.

Sebahagian badan pesawat itu berkecai dan berselerakan di kawasan sekitar 50 meter manakala sebahagian lagi dipercayai terbenam di dalam lumpur.

Sehingga pukul 8 malam ini, juruterbang pelatih itu yang dipercayai tersepit di kokpit pesawat masih belum dapat dikeluarkan oleh pasukan pencari dan penyelamat.

Seorang petani, Saidin Kasa, 43, yang berada di kawasan berhampiran menceritakan, pesawat tersebut kelihatan terhoyong-hayang di udara sebelum menjunam ke dalam sawah diikuti letupan yang kuat.

Menurutnya, pada mulanya pesawat itu kelihatan terbang seperti biasa tetapi pada paras yang rendah dan ketika cuba memusing ke belakang ia terus menjunam ke dalam sawah padi.

``Saya nampak pesawat tersebut yang datang dari arah Alor Setar terbang rendah kira-kira 30 meter dan tiba-tiba menjunam ke dalam sawah,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian itu dia sedang membajak sawahnya, iaitu kira-kira 200 meter dari tempat pesawat itu terhempas.

Sebaik sahaja ia terhempas, dia terdengar bunyi letupan yang kuat dan nampak asap berkepul-kepul, tetapi tidak nampak api dari pesawat itu.

``Saya berlari ke tempat kapal terbang itu jatuh untuk membantu sekiranya terdapat mereka yang cedera tetapi tidak nampak pesawat tersebut di tempat kejadian kecuali serpihan badannya yang berselerakan,'' ujarya.

Nahas pesawat TUDM itu dipercayai yang ketiga berlaku di Daerah Pendang selepas kejadian di Kampung Rambai dan Guar Kepayang beberapa tahun lalu.

Dalam nahas di Kampung Rambai tidak jauh dari tempat kejadian itu, seorang pelatih juruterbang turut terkorban sementara dalam kejadian di Guar Kepayang mengorbankan seorang pelatih bersama jurulatihnya.

Kedua-dua nahas itu juga membabitkan pesawat jenis yang sama.

Oleh: NIZAM HAMID

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi