Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 11 April 2001

Saksi keliru dengan tindakan Mohd. Amin

KUALA LUMPUR 10 April - Seorang anggota kumpulan Al-Ma'unah, Jamaludin Darus mengakui di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia telah mengikut ketuanya, Mohd. Amin Mohd. Razali ke Pos 2, Kuala Rhui dan kem 304, Gerik Perak pada awal pagi 2 Julai tahun lalu untuk `mengambil senjata'.

Bagaimanapun, katanya selepas 2 Julai itu, dia merasa pelik dan keliru apabila Mohd. Amin memberitahunya dengan kata-kata: ``Kamu boleh balik setelah tentera datang.''

Jamaluddin mendakwa selepas itu dia berasa bingung dan kecewa setelah anggota tentera ditembak mati dalam tragedi hitam di Bukit Jenalek, Sauk, Kuala Kangsar Perak.

Katanya, dia merasakan sesuatu yang tidak kena dengan Mohd. Amin kerana selama ini ketua Al-Ma'unah itu sering mengatakan kepada anggota-anggotanya, ``Ikut perintah guru selagi guru ikut perintah Allah dan Rasul.''

Jamaludin, 40, sebelum itu adalah seorang pegawai tentera berpangkat mejar tetapi sekarang pangkatnya sudah dilucutkan.

Dia sedang memberi keterangan membela diri sebagai tertuduh ketiga bersama 18 anggota Al-Ma'unah lain termasuk Mohd. Amin atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka menghadapi dakwaan itu mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan. Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Makinudin masuk hari ke-61 hari ini.

Jamaludin memberi keterangan pembelaan secara mengangkat sumpah.

Ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Zabidi Mohamad, tertuduh itu menceritakan bahawa dia menjadi anggota Al-Ma'unah pada Oktober 1998.

Menurut tertuduh, dia menganggotai kumpulan itu dengan tujuan untuk perubatan, riadah, kesihatan dan membantu masyarakat setempat jika memerlukan pertolongan.

Jamaludin memberitahu bahawa dia telah berjumpa guru utama Al-Ma'unah dari Indonesia, Ibnu Abas di pejabat kumpulan itu di Klang dalam tahun 1998.

Katanya, Al-Ma'unah Indonesia pada masa itu di bawah naungan Jeneral Wiranto (bekas Ketua Tentera Nasional Indonesia).

Tertuduh itu mendakwa selepas enam bulan menyertai kumpulan Al-Ma'unah, dia menjadi guru pelatih bagi ahli-ahli di kawasan utara dan juga semasa kursus yang dianjurkan oleh Mohd. Amin.

``Saya mengajar anggota-anggota Al-Ma'unah cara menggunakan bahan-bahan mengikut apa penyakit yang dihidapi sebagai permulaannya dan selepas itu mengajar mengesan penyakit melalui tapak tangan, perubatan jarak jauh dan lain-lain lagi, katanya.

Jamaludin juga mendakwa dia mempunyai pengalaman untuk mengubati penyakit contohnya, orang yang terkena ilmu hitam, sihir, masalah rumah tangga dan lain lagi.

Ketika menjawab soalan Zabidi seterusnya, tertuduh itu mengatakan dia mengenali Mohd. Amin semasa menganggotai kumpulan Al-Ma'unah pada Oktober 1998.

Jamaludin menceritakan pada 30 Jun tahun lalu, dia berada di atas puncak Bukit Jenalek untuk kursus kerohanian dan juga latihan mengajar anggota tentera bagi tenaga dalam seperti yang diberitahu oleh Mohd. Amin.

Kebiasaannya, menurut tertuduh, dalam kursus kerohanian itu mereka berzikir daripada pukul 10 malam hingga subuh.

``Dan yang lain-lain apa yang disuruh oleh guru, kita akan mengikut kepada keadaan masa tersebut, rahsia dalam rahsia, Yang Arif,'' kata Jamaludin.

Peguam bela bertanya siapakah yang dimaksudnya sebagai guru.

Tertuduh menerangkan bahawa guru dalam Al-Ma'unah adalah Mohd. Amin yang kemudian dia menuding ke arah Mohd. Amin sebagai tertuduh pertama pada perbicaraan itu. itu.

Jamaludin juga menjelaskan istilah `rahsia dalam rahsia' maksudnya, kadang-kadang benda yang disangkakan ataupun perkara yang tidak disangka akan berlaku.

Katanya, itu adalah pelajaran baru.

Jamaludin memberitahu bahawa program kursus kerohanian di Bukit Jenalek ditentukan oleh Mohd. Amin.

Tertuduh menjelaskan lagi, `latihan tenaga dalam' ialah mereka (anggota Al Ma'unah) akan mengajar anggota tentera sebagaimana yang dirancangkan oleh Mohd. Amin.

Apabila ditanya apa yang difahamkan mengenai perkara itu, tertuduh memberitahu bahawa mereka akan mengajar anggota tentera dan kemudian anggota tentera akan mengajar anggota Al-Ma'unah latihan senjata.

Bagaimanapun, ketika menjawab satu soalan, Jamaludin mengatakan dia tidak pasti ianya juga ditentukan oleh Mohd. Amin.

Dalam soalan balas, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bertanya sama ada tertuduh itu berpakaian seragam tentera berpangkat leftenan kolonel ketika pergi ke Pos 2 dan kem 304 di Gerik.

Jamaludin menjawab dia tidak pasti dan mendakwa pada waktu itu keadaan adalah gelap.

Tertuduh bagaimanapun mengatakan dia pasti ada pergi ke Pos 2 dan kem 304.

Tambahnya, dia pasti ada mengambil senjata di kem 304.

Perbicaraan bersambung esok.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi