Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 11 April 2001

Perlis laluan seludup kereta ke Thailand

KANGAR 10 April - Perlis dipercayai menjadi laluan utama kegiatan penyeludupan kereta mewah ke Thailand berikutan rampasan sebanyak 20 buah kereta mewah di sekitar negeri ini dan Kedah sejak awal tahun lalu.

Pengarah Kastam Perlis, Md. Hassim Pardi berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lapan buah kereta mewah telah dirampas berbanding sepanjang tahun lalu sebanyak 12 buah.

Kereta-kereta yang ditahan itu menggunakan pendaftaran palsu dan ada yang menggunakan pendaftaran Singapura, katanya kepada para pemberita di pejabatnya hari ini.

Beliau percaya, permintaan yang tinggi terhadap kereta-kereta mewah yang diseludup adalah kerana harganya yang lebih murah.

Semua kereta mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta dipercayai dibawa masuk dari Singapura terutama untuk pasaran Thailand.

Antara kereta yang dirampas sejak tahun lalu ialah dari jenis Jaguar Sovereign, Mercedes Benz, Honda CRV, BMW, Volvo, Mazda 626, Kia Sportage dan Nissan.

Katanya, Kastam juga sedang menyiasat pembabitan sebanyak 20 lelaki tempatan dalam kegiatan itu.

Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan larangan import dan memiliki barang bukan lulus kastam, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 10 kali ganda nilai barangan berkenaan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi