Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 13 April 2001

PM: Penahanan ISA wajar -- Polis ada bukti bahan letupan mahu diguna dalam demonstrasi Sabtu ini

KUALA LUMPUR 12 April - Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, penahanan tujuh orang anggota pembangkang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah untuk mencegah berlakunya demonstrasi yang akan membawa kepada keganasan dan kemusnahan.

Menurut Perdana Menteri, tangkapan itu berdasarkan bukti polis yang mereka merancang menggunakan bahan letupan dalam demonstrasi jalanan besar-besaran yang dipanggil perhimpunan Black 14 pada Sabtu ini.

``Ada bukti mereka merancang menggunakan bahan letupan, kita tidak mahu ia berlaku sebab itu kita ambil tindakan,'' ujarnya.

Dr. Mahathir berkata, penahanan mengikut ISA masih relevan dan berguna untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jelasnya, kalau sesuatu kerosakan telah berlaku atau melibatkan orang terbunuh dan sebagainya, tindakan yang diambil tidak berguna lagi.

``Polis memutuskan bahawa mereka tidak akan melayani demonstrasi ini kerana ia boleh menyebabkan keganasan dan kita tidak tahu apa jenis kerosakan yang akan berlaku,'' katanya kepada pemberita selepas melancarkan bahan tampalan gigi terkini Silverfil, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangkapan tujuh aktivis reformasi di bawah Seksyen 73(1) ISA, semalam dan kelmarin.

Mereka ialah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor, 34; Naib Presiden Keadilan, Chua Tian Chang (Tian Chua), 37; Hishamuddin Rais, 50; Saari Sungib, 43; N. Gobala Krisnan, 41; Raja Petra Raja Kamarudin, 49; dan Abdul Ghani Haroon, 36.

Polis membuat tangkapan itu setelah mereka dikatakan terlibat dalam kumpulan sulit yang dianggotai oleh lebih 20 orang aktivis reformasi yang diwujudkan bagi mencetus demonstrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata, penahanan tujuh aktivis reformasi itu bukan atas kapasiti parti pembangkang sebaliknya individu yang didapati menggugat keselamatan negara.

Mengulas perkara yang sama, Dr. Mahathir berkata, secara kebetulan kesemua yang ditahan terdiri daripada anggota parti pembangkang.

``Kita menerima pembangkang yang sah, mereka yang menggunakan prosedur demokrasi biasa... kita tidak fikir demokrasi dan keganasan adalah prosedur demokrasi,'' katanya.

Mengenai reaksi antarabangsa termasuk media berhubung penahanan itu, Perdana Menteri berkata: ``Seperti biasa, media asing akan menghentam kita... mereka tidak pernah menyiarkan berita baik tentang kita walaupun kita melayan mereka dengan baik.''

Dalam hubungan ini Dr. Mahathir menjelaskan, kerajaan tidak boleh mengutamakan hak asasi satu kumpulan kecil yang mempunyai kepentingan tertentu, yang menghalang hak asasi majoriti.

Katanya, hak asasi majoriti rakyat untuk berniaga dan hidup dalam keadaan stabil tanpa tekanan serta rusuhan adalah keutamaan kerajaan.

``Jadi, kita ada tugas kepada rakyat dan negara kita,'' tegasnya.

Mengulas mengapa polis tidak mengambil tindakan mengikut undang-undang lain ke atas kesemua anggota pembangkang itu, Dr. Mahathir berkata, polis mungkin berpendapat tindakan itu tidak efektif dalam mencegah berlakunya perhimpunan tersebut.

Katanya, mereka boleh ditahan mengikut undang-undang lain tetapi ia memerlukan bukti dan proses tertentu.

Beliau berkata, di bawah ISA mereka boleh ditahan selama 60 hari dan jika selepas itu mereka didapati dan ada bukti masih mengancam keselamatan mereka akan ditahan selama dua tahun.

``Kalau tidak, dia akan dibebaskan,'' jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan ada tangkapan baru melibatkan ISA, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

``Saya tak tahu tetapi ia bergantung kepada polis, mereka kata mungkin ada lagi yang akan ditangkap,'' tambahnya.

Oleh: ISMAIL DAUD dan MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi