Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 14 April 2001

Polis temui kereta mangsa culik yang dibunuh

KUALA LUMPUR 13 April - Kereta milik pengusaha kantin, Saidi Ba'e yang mati dibunuh setelah diculik oleh beberapa lelaki Sabtu lalu, ditemui oleh polis di kawasan Rawang, petang semalam.

Kereta jenis Proton Saga yang dilarikan oleh kumpulan empat lelaki yang menculik mangsa ditemui tersadai di kawasan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mangsor Ismail ketika dihubungi berkata, penemuan kereta tersebut sedikit sebanyak membantu pihaknya dalam usaha mengesan kumpulan penculik terbabit.

``Kita telah mengetahui identiti semua penculik berkenaan dan kita sedang berusaha untuk memburu mereka,'' kata beliau.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Saidi dan isterinya, Nazilah Supri serta bapa saudaranya, Naim Pie yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kajang dengan menaiki kereta tiba-tiba ditahan oleh empat lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.

Ketika kejadian, mangsa, isteri dan bapa saudaranya berada di kawasan Cheras Perdana berdekatan Tol Grand Saga dekat sini.

Keempat-empat lelaki berkenaan kemudian membawa ketiga-tiga mangsa dengan dua kereta berasingan termasuk kereta milik mangsa dan membebaskan isteri serta bapa saudara Saidi di Ampang dan Brickfields.

Bagaimanapun, Saidi telah diculik oleh empat lelaki berkenaan bersama kereta dan wang tunai berjumlah RM5,000.

Tiga hari kemudian mayat Saidi ditemui di Kampung Tok Muda, Klang, dalam keadaan tangannya bergari.

Polis yang menyiasat pembunuhan itu percaya ia ada kaitan dengan persaingan dalam perniagaan. Selain mengusahakan kantin, Saidi adalah sub kontraktor yang terlibat dalam pembinaan jalan dan saliran.

Oleh: SYAHRIL A. KADIR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi