Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 14 April 2001

Permohonan habeas corpus 5 aktivis reformasi 16 April

KUALA LUMPUR 13 April - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Isnin ini untuk mendengar permohonan habeas corpus lima aktivis reformasi bagi membebaskan mereka daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didakwa tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka ialah Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Noor, Naib Presiden Keadilan, Chua Tian Chang (Tien Chua), 37; Saari Sungib, 43; Raja Petra Raja Kamarudin, 49; dan pengkritik filem, Hishamuddin Rais, 50.

Kelima-lima tahanan itu ditangkap di beberapa tempat berasingan setelah polis mengesyaki mereka terlibat dalam pakatan mencetuskan demonstrasi besar-besaran menjelang pilihan raya umum 2004.

Mereka (pemohon) menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden dalam permohonan tersebut.

Sementara itu, isteri Ezam, Bahirah Tajul Aris melalui afidavit sokongan yang diikrarkan bagi pihak suaminya menyatakan, penahanan itu berniat jahat (mala fide) dan bermotif politik.

Bahirah mendakwa, hak suaminya di bawah Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan telah dinafikan ekoran keengganan responden membenarkan pemohon bertemu peguam dan ahli keluarga.

Menurut Bahirah, sehari selepas penangkapan Ezam, dia ke Bukit Aman dan menemui wakil responden bernama Deputi Supritendan Joon.

Bagaimanapun, jelas Bahirah, permintaan untuk bertemu pemohon bagi memastikan tahap kesihatannya tidak diendahkan.

Oleh itu, Bahirah memohon mahkamah agar Ezam dibebaskan daripada tahanan tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi