Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 16 April 2001

Mangsa gangguan seksual diarah tukar ke Jempol

KUALA LUMPUR 15 April - Mangsa gangguan seksual, Rubiyah Togi, 38, hari ini mendakwa beliau telah diarahkan berpindah tempat kerja dari Seremban ke Jempol, dipercayai kerana laporan polis berhubung kesnya bulan lalu.

Beliau menerima arahan tersebut daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan secara pos bertarikh 9 April yang memintanya melaporkan diri di tempat barunya itu pada 16 April ini.

``Saya baru menerima surat tersebut pada 11 April lepas dan diarahkan bertukar ke Pejabat Daerah Jempol sementara tempat saya pula akan diambil alih oleh operator dari tempat itu,'' katanya.

Beliau yang datang ke Pejabat Utusan di sini hari ini menyifatkan pertukarannya itu sebagai `luar biasa' dan menganggapnya sebagai satu tekanan berikutan pendedahan kesnya itu di Utusan pada 22 Mac lalu.

Utusan sebelum ini menyiarkan muka depan kisah Rubiyah yang mendakwa dua pegawai atasan di Pejabat Tanah dan Daerah Seremban telah melakukan gangguan seksual terhadap- nya secara lisan dan fizikal sejak awal tahun ini.

Rubiyah ditemani suaminya Mazli Marzuki, 41, dan aktivis sosial badan bukan kerajaan, Lim Ai Yim dari Persatuan Pergerakan Wanita (Awam).

``Saya tidak kisah ditukarkan ke mana pun tetapi masalahnya saya sudah mempunyai rumah sendiri di Seremban sedangkan tempat baru itu pula terletak 80 kilometer jauhnya dan ini amat menyusahkan saya berulang-alik setiap hari,'' katanya.

Ibu kepada lima orang anak itu menambah, dengan pendapatan tidak tetap suaminya sebagai kontraktor dan pendapatan bulanannya sendiri pun tidak mencukupi, arahan tersebut ternyata amat menyusahkan kehidupannya sekeluarga.

Beliau mendakwa di pejabatnya sekarang pun masih banyak lagi kekosongan yang belum diisi dan daripada 30 operator mesin pemprosesan data, hanya tiga orang termasuk dirinya sahaja terlibat dalam pertukaran itu.

``Cukuplah saya sekeluarga dipulau oleh saudara mara, kini pihak atasan pula semacam menekan saya berikutan pendedahan kes berkenaan yang dianggap mencemarkan imej jabatan,'' katanya.

Beliau bagaimanapun akur dengan arahan tersebut walaupun berat menerimanya kerana tidak mahu dianggap ingkar kepada perintah am jabatan.

Sementara itu, Lim memuji keberanian Rubiyah yang sanggup menerima risiko menegakkan kebenaran selain tabah menghadapi pelbagai dugaan di samping sokongan tidak berbelah bahagi suaminya itu.

``Bagi pihak Awam, kita berharap lebih ramai lagi kaum wanita berani tampil memberi pendedahan sedemikian memandangkan tiada undang-undang khusus bagi menangani gangguan seksual sekarang,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi