Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 20 April 2001

Makan malam pertama dan terakhir

Oleh: SHARILFUDDIN SAARI
PETALING JAYA 19 April - Syed Mokhri Syed Abu Bakar tidak menyangka makan malam keluarga di sebuah restoran di Setapak malam kelmarin adalah yang terakhir bagi tiga anaknya sebelum tragedi kebakaran yang mengorbankan mereka, di Kelana Jaya pagi semalam.

Penolong Pengarah Kastam (Pencegahan) Wilayah Persekutuan itu berkata, sebelum ini beliau tidak pernah membawa keluarganya makan di luar rumah sejak mendirikan rumah tangga kerana sibuk bertugas.

Keluarganya juga mengadakan sambutan hari lahir beliau yang ke-44 pada 7 April lalu dan mengambil gambar sekeluarga di sebuah kedai gambar, satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun kesemua gambar itu musnah.

``Tiada perkara pelik berlaku melainkan kami sekeluarga rindukan kasih sayang antara satu sama lain.

``Kami tidak menyangka perkara itu merupakan yang pertama dan terakhir bagi kami,'' katanya sebak ketika ditemui di kuarters Kastam di sini, hari ini.

Syed Mokhri berkata, walaupun peristiwa itu begitu menyayat hatinya namun beliau tetap bersyukur kerana masih mempunyai dua lagi anak.

Katanya, walaupun sedih kematian tiga anaknya itu tetapi dalam masa yang sama dia tetap menganggapnya sebagai takdir yang perlu diterima selain ketentuan Ilahi.

Kedua-dua anak Syed Mokhri yang terselamat dari tragedi itu ialah Sharifah Norashidah, 15, dan Sharifah Norfatihah, 14.

``Saya redha dan bersyukur kerana mempunyai dua anak yang masih hidup.

``Mereka memberi kekuatan kepada diri saya untuk menerima segala yang berlaku,'' ujar Syed Mokhri.

Dalam pada itu, rumah sementara keluarga mangsa di kuarters Kastam diselubungi suasana sayu dengan kehadiran ramai tetamu terutamanya rakan-rakan sekerja dan saudara mara terdekat.

Kata Syed Mokhri, beliau berasa amat terharu dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah menyampaikan sumbangan sama ada wang ringgit mahupun pakaian kepadanya.``Kawan-kawan di pihak saya dan isteri banyak memberi kekuatan untuk menerima takdir yang berlaku ini,'' katanya terharu.

Terdahulu Syed menerima kunjungan Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Diraja, Datuk Abdul Halil Abd. Mutalib dan Ketua Puteri UMNO, Azalina Othman Said.

Sementara itu, Azalina bersetuju untuk menguruskan insurans perumahan keluarga mangsa melalui Biro Tindakan Sivil serta khidmat kaunseling jika diperlukan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi