Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 20 April 2001

Kereta Ketua Unit Penguat Kuasa Muar dibakar

MUAR 19 April - Sebuah kereta kepunyaan Ketua Unit Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Muar, Wan Kok Keong yang diletakkan di hadapan kediamannya di Taman Murni, Jalan Haji Jaib di sini, dibakar oleh orang yang tidak dikenali pagi ini.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 3.15 pagi iaitu lebih kurang empat jam selepas beliau kembali dari operasi pemeriksaan bersama pegawai-pegawainya di gerai-gerai jualan ekspo perdagangan sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Muar (MPM) di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Dalam pemeriksaan tersebut empat orang kakitangannya telah merampas sejumlah 1,300 keping video cakera padat (VCD) cetak rompak daripada seorang penjual yang menjalankan perniagaan di ekspo berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Azmi Ahmad ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan daripada Wan mengenai kebakaran kereta jenis Mitsubishi yang dianggarkan berharga RM4,000 itu.

Beliau juga mengesahkan, hasil pemeriksaan seorang ahli kimia mendapati kebakaran kenderaan itu adalah hasil daripada perbuatan jenayah.

``Kita sedang menjalankan siasatan termasuk tentang kemungkinan kaitannya dengan operasi rampasan VCD seperti yang diberitahu oleh pengadu,'' katanya.

Sementara itu, Wan Kok Keong ketika dihubungi memberitahu, dia terjaga dari tidur selepas terdengar seperti cermin rumahnya dipecah dan diikuti dengan deruman motosikal keluar kira-kira pukul 3.15 pagi.

Tidak lama selepas itu, katanya, dia terdengar jirannya menjerit menyatakan ada kebakaran dan dia mendapati keretanya terbakar.

Ditanya mengenai operasi pemeriksaan di gerai menjual VCD di ekspo perdagangan malam tadi, beliau menerangkan, dia bergegas ke tempat itu setelah diberitahu bahawa ada sedikit salah faham antara pegawai-pegawai penguatkuasanya dengan penjual VCD berkenaan.

Namun begitu, katanya, semasa beliau tiba, masalah tersebut telah dapat diselesaikan tanpa kejadian yang tidak diingini.

Kata Wan, beliau menyerahkan kes tersebut kepada polis untuk memastikan sama ada kebakaran keretanya ada kaitan dengan tindakan kakitangannya atau sebaliknya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi