Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 20 April 2001

Pasang jeriji boleh dibuka dari dalam

Oleh: TEON EG dan SUFFIAN ABU BAKAR
KUALA LUMPUR 19 April - Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini mengulangi ingatannya agar jeriji yang hendak dipasang di rumah mestilah boleh dibuka dari dalam.

Jeriji seperti ini yang biasanya dipasang di bahagian tingkap menghadap ke arah balkoni adalah selamat jika berlaku kebakaran.

Penguasa Bomba dari Bahagian Pencegahan dan Keselamatan Kebakaran, Nor Hisham Mohammad berkata, dalam soal ini pemilik rumah terpaksa mengetepikan bentuk jeriji yang cantik tetapi harus memikirkan soal keselamatan.

Katanya bomba telah mengeluarkan garis panduan mengenai jenis, bentuk dan cara yang paling sesuai untuk pemilik-pemilik rumah memasang jeriji.

``Antara ciri-ciri asasnya, jeriji itu harus boleh dibuka dari dalam, terutamanya jeriji yang dipasang di bahagian tingkap menghadap ke arah balkoni,'' jelas beliau semasa dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tragedi kebakaran yang meragut tiga orang anak Penolong Pengarah Kastam (Pencegahan) Wilayah Persekutuan, Syed Mohri Syed Abu Bakar di Kelana Jaya, di sini pagi semalam.

Nor Hisham memberitahu, pihak bomba hanya mengharapkan orang ramai memahami tujuan bomba yang ingin menjaga keselamatan pemilik-pemilik rumah sekiranya berlaku kebakaran.

``Untuk pengetahuan umum, bomba hanya mempunyai dua bidang kuasa di kawasan perumahan iaitu mewajibkan pemasangan pili bomba dan membina dinding pemisah di rumah-rumah teres,'' katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kanak-kanak yang sering kali ditinggalkan di rumah, Nor Hisham berkata, ibu bapa seharusnya memastikan anak-anak yang di tinggalkan mampu atau tahu mengendalikan diri sekiranya berlaku kecemasan.

``Antaranya memberi latihan asas menghadapi kebakaran kepada anak-anak dan mereka juga harus diberitahu jalan-jalan menyelamatkan diri sekiranya berlaku kebakaran,'' ujarnya.

Bagaimanapun, ujarnya, daripada pengalaman pihaknya, mendapati kebanyakan kanak-kanak yang berhadapan dengan suasana cemas cepat panik dan tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan diri.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, kebakaran di rumah pangsa dan rumah teres dua tingkat menghadapi risiko lebih tinggi mangsa terperangkap berbanding dengan di rumah kampung ataupun di rumah lot.

Katanya, ini disebabkan rumah pangsa dan rumah teres dua tingkat tidak mempunyai banyak laluan untuk mangsa menyelamatkan diri berbanding dengan rumah kampung atau rumah lot.

Oleh itu, tambahnya, pemilik-pemilik rumah pangsa dan rumah teres dua tingkat harus mengambil langkah-langkah keselamatan yang lebih berbanding dengan mereka yang tinggal di kampung ataupun rumah yang dibina di tanah lot.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi