Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 20 April 2001

Segera periksa sistem pendawaian elektrik

KUALA LUMPUR 19 April - Pengguna elektrik domestik dinasihatkan supaya membuat pemeriksaan segera ke atas sistem pendawaian elektrik di rumah mereka sekiranya dikesan menghadapi masalah.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Seliaan), Jabatan Bekalan Elektrik dan Gas (JBEG), Ismail Anuar, pemeriksaan itu boleh dilakukan dengan menggunakan khidmat kontraktor yang berdaftar dengan jabatan itu.

``Sekiranya mereka (pengguna domestik) mendapati ada masalah pada sistem pendawaian di rumah, mereka perlu segera membuat pemeriksaan menggunakan khidmat kontraktor,'' katanya kepada Utusan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai perlunya pemilik rumah kediaman dan komersial membuat pemeriksaan rapi terhadap sistem pendawaian di kediaman mereka.

Kebakaran yang membawa maut kerap berlaku sejak akhir-akhir ini yang mungkin berpunca daripada masalah litar pintas.

Ismail berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 3,200 kontraktor berdaftar dengan jabatan itu mengikut kelas-kelas tertentu.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada undang-undang mewajibkan pemilik rumah kediaman atau pengguna domestik supaya memeriksa sistem pendawaian masing-masing.

Bagaimanapun katanya, bagi pengguna komersial seperti kilang dan hotel, mereka diwajibkan membuat pemeriksaan sistem pendawaian setiap lima tahun sekali seperti yang dikehendaki mengikut Peraturan Elektrik 1994.

Katanya, pengguna komersial yang dikesan tidak membuat pemeriksaan dalam tempoh itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun menurut beliau, pihaknya pada masa ini tidak mempunyai perangkaan terperinci mengenai kes berkenaan.

Pada masa yang sama beliau turut menasihati pengguna terutama pengguna domestik supaya tidak membenarkan kontraktor yang membuat pemeriksaan, membuat pintasan pada sistem pendawaian bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Ini kerana katanya, sekiranya pintasan dibuat pada sistem itu, sebarang gangguan litar pintas tidak akan dapat dielakkan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi