Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 20 April 2001

Polis lumpuhkan makmal proses heroin

Oleh: ANI AWANG
BUKIT MERTAJAM 19 April - Polis Daerah Seberang Perai Tengah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah dan pil khayal di negeri ini, berikutan penemuan sebuah makmal memproses heroin di sebuah rumah teres setingkat di Taman Impian, Machang Bubok di sini, awal pagi ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 17,800 biji pil WY, sejumlah heroin yang dianggarkan seberat 1,500 gram, kira-kira 200 gram serbuk heroin pelbagai warna, sembilan paket plastik kosong dan beberapa peralatan membuat logo pil WY.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki dan teman wanitanya, seorang rakyat Thai berumur 29 tahun di rumah tersebut.

Sepasukan pegawai polis dari Cawangan Narkotik Daerah diketuai oleh Inspektor Abdul Latiff Mehat bersama beberapa anggota polis Daerah Seberang Perai Selatan telah menyerbu rumah itu pada kira-kira pukul 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah SPT, Supritendan Noor Rashid Ibrahim berkata, kejayaan rampasan dadah pertama terbesar di sini adalah hasil maklumat orang awam.

``Berdasarkan siasatan awal, polis percaya rumah tersebut dijadikan makmal bagi memproses heroin untuk dijadikan pil WY sejak awal tahun ini,'' katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis di sini hari ini.

Noor Rashid berkata, lelaki dan wanita itu ditahan reman dua minggu untuk siasatan selanjutnya.

Pada awal Mac lalu, polis daerah itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah terbesar apabila merampas 36 ketul ganja mampat seberat 36 kilogram bernilai RM54,000 berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan di sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Permatang Pauh di sini.

Dalam serbuan itu, dua lelaki berumur 28 dan 31 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ditanya mengenai kemungkinan lelaki dan wanita yang ditahan itu terbabit dengan kes pengedaran ganja dan senjata yang di tumpaskan di Nibong Tebal pada 11 Januari lepas, Noor Rashid berkata, mereka tidak terbabit dengan sindiket tersebut.

``Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan memproses heroin untuk dijadikan pil WY, yang dirampas dalam serbuan itu,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum