Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 21 April 2001

13 terkorban, 9 cedera parah -- Bas rombongan Amanah Ikhtiar Malaysia dari Kota Bharu terbalik dekat Baling


KEADAAN bas rombongan yang terbabas dan terbalik dalam tragedi kemalangan mengorbankan 13 penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki di Kampung Batu 7, Jalan Pengkalan Hulu - Baling, di Baling, Kedah, semalam. - Gambar Utusan.

BALING 20 April - Tiga belas orang terbunuh, sembilan parah dan 28 lagi cedera apabila sebuah bas yang membawa rombongan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dari Kota Bharu ke Pulau Langkawi terbalik semasa menuruni bukit di Kampung Batu 7, Jalan Pengkalan Hulu - Baling, di sini, pagi ini.

Nahas jalan raya yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini, mengorbankan 12 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

Kesemua yang terkorban mati di tempat kejadian, seorang di Hospital Baling dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Alor Setar.

Bas kilang disewa khas yang membawa 49 orang penumpang termasuk lapan kanak-kanak dan pemandu kedua itu mengalami kerosakan brek semasa menuruni bukit dan terbalik dua kali (berpusing dengan tayar ke atas) sehingga beberapa penumpang tercampak keluar.

Saksi yang melihat kejadian itu memberitahu, bas itu meluncur laju sebelum gagal dikawal dan ketika cuba mengelak daripada terjatuh ke gaung sedalam 15 meter, merempuh tebing jalan mengakibatkan ia terbalik.

Keadaan itu menyebabkan bumbung bas berkenaan tercabut.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Hassan Ismail berkata, nahas itu berlaku pada pukul 10.30 pagi semasa bas itu sedang menuruni bukit.

Setakat ini, tiga yang terbunuh dikenali iaitu Zawiyah Ismail, 44, Che Limah @ Hasmah Che Mat, 52, dan Rohani Mat Ramli, 50.

Sepuluh lagi masih belum dikenal pasti.

Menurut beliau, mayat-mayat mangsa nahas itu dikeluarkan dari bas oleh anggota Bomba dan Penyelamat dari Baling dan Pengkalan Hulu dengan dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung berdekatan.

Pengarah Hospital Baling, Soo Phu Kong menyatakan, sehingga pukul 4 petang, bedah siasat ke atas mereka yang terkorban dalam nahas itu masih belum dijalankan.

Katanya, lima orang yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Petani, empat di Hospital Alor Setar manakala 23 yang cedera dan dilaporkan stabil dirawat di Hospital Baling.

Mereka yang cedera parah dan dikenal pasti setakat ini ialah Maimun Yahya dan kanak-kanak, Siti Nordila dirawat di Hospital Alor Setar sementara yang dirawat di Hospital Sungai Petani ialah Zuraidah Osman, Minah Abdullah, Wan Aminah Wan Ismail, Kamadewi Aliyudin.

Seramai 16 daripada 23 yang cedera dan dirawat di Hospital Baling ialah Salbiah Mahmud, Roslina Yusof, Kalsom Mamat, Hasiah Mohamad, Zaferi Yunus, Mek Esah Mohamad, Aini Md Ramli, Ibrahim Ismail, Safinah Mat Zainol, Roslin Md Nordin.

Zamri Yaakob, Norshidah Setapa, Rosnani Ismail, Mariah Mustaffa, Rahimah Awang, Esah Mohamad.

Pemandu bas yang terlibat, Rozali Md. Nor, 39 dari Kota Bharu bagaimanapun terselamat. Dia kini ditahan polis untuk siasatan.

Rozali mendakwa, semasa menuruni bukit, bas yang dipandunya itu mengalami kerosakan brek dan gearnya tidak berfungsi mengakibatkan bas itu gagal dikawal.

Sementara pemandu kedua bas itu, Ibrahim Ismail, 29, yang kemudiannya turut ditahan polis berkata, semasa sampai dekat Tasik Banding, dia menyerahkan bas itu untuk dipandu oleh Rozali.

``Apabila bas itu mengalami masalah brek semasa menuruni bukit, ramai penumpang menjerit-jerit ketakutan sebelum bas itu terbalik dan terbabas,'' katanya.

Peserta AIM seramai kira-kira 80 orang termasuk sembilan kakitangan menaiki dua buah bas dari Pasar Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pukul 10 malam tadi.

Mereka yang menyertai rombongan itu datang dari seluruh daerah di Kelantan.

Rombongan itu dijadual menaiki feri di Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi ini tetapi oleh kerana salah sebuah bas mengalami kerosakan di Jeli menyebabkan mereka terlewat sampai.

Peserta AIM itu dijadual melawat Pulau Langkawi hari ini dan balik ke Kota Bharu petang esok (Sabtu).

AIM ditubuhkan pada tahun 1987 untuk membantu isi rumah termiskin untuk mengeluarkan mereka dari kemiskinan melalui Pinjaman Ikhtiar yang digunakan untuk membiayai kegiatan yang menghasilkan pendapatan. Antara skim pinjaman itu ialah Skim Khas Ibu Tunggal.

Sementara itu, seorang kakitangan AIM Pejabat Kota Bharu yang menyertai rombongan memberitahu Utusan, salah sebuah bas yang disewa itu rosak di pertengahan jalan pada pukul 1.30 pagi dan hanya bertolak semula pukul 5 pagi.

Bagaimanapun, bas yang terlibat dalam kemalangan itu meneruskan perjalanan sehinggalah berlaku tragedi itu.

Oleh: FUADY YUSOF, NIZAM HAMID, AZMAN MOHD. NOOR dan LUQMAN HAKIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum