Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 21 April 2001

Kaji wajibkan pasang jeriji mudah dibuka

KUALA LUMPUR 20 April - Kerajaan akan mengkaji kemungkinan mewajibkan semua rumah di negara ini dipasang dengan jeriji yang mudah dibuka sewaktu kebakaran, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting.

Beliau berkata, pihaknya telah berulang kali mengingatkan orang ramai agar memasang jeriji yang mudah dibuka tetapi belum mewajibkannya kerana banyak pihak yang meminta supaya mereka dibenarkan memasangnya sendiri secara sukarela.

``Jadi kementerian saya akan kaji selanjutnya apa yang paling menjamin (baik), sama ada ia boleh dilakukan secara paksaan atau tidak,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Persatuan Pembeli Perumahan (HBA) Selangor dan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ong mengulas mengenai kejadian kebakaran yang mengorbankan tiga beradik di Kelana Jaya kelmarin.

Jiran-jiran yang cuba menyelamatkan mereka dilaporkan tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dapat melihat dan mendengar mangsa meminta tolong kerana seperti kes-kes kebakaran maut yang lalu, semua pintu berjeriji besi dan tidak dapat dibuka.

Menurut Ong, kerajaan tidak boleh mewajibkannya buat masa sekarang kerana mereka yang berpendapatan rendah akan membantah dengan memberi alasan bahawa ia menyusahkan.

``Sekarang ini kalau kita nak wajibkan, rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah akan kata ini menyusahkan, mereka kena belanja wang lagi, itu semua kita kena ambil kira,'' ujarnya.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) agar mengambil tindakan lebih teliti untuk menguatkuasakan peraturan di bawah ordinan sijil layak menduduki (CF) bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Merujuk kepada tragedi kebakaran kelmarin, Ong menjelaskan, beliau masih menunggu laporan terperinci dari Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai kejadian tersebut.

``Laporan selepas siasatan itu adalah untuk memeriksa apa sebenarnya telah berlaku, terutamanya apabila terdapat dakwaan bahawa panggilan tidak dijawab dengan cepat atau pihak tertentu memberi nombor telefon yang tidak tepat,'' tegasnya.

Beliau menyatakan akan berbincang dengan semua pengarah bomba negeri dalam perjumpaan di Johor Bahru pada 24 April ini bagi memperbaiki sistem penyelamatan semasa.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum