Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 21 April 2001

Bahagian Penguat Kuasa tidak akan tunduk pada ancaman

KUALA TERENGGANU 20 April - Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak akan tunduk kepada ancaman mana-mana pihak dalam usaha membanteras kegiatan cetak rompak di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk S. Subramaniam berkata, walaupun ada ugutan daripada pihak-pihak tertentu, ia tidak akan menghalang Bahagian Penguat Kuasa membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang terutama masalah cetak rompak video cakera padat (VCD).

``Kita banyak menerima laporan mengatakan anggota dan pegawai bahagian penguat kuasa diugut serta diancam oleh mereka tidak bertanggungjawab, tetapi ia tidak menghalang daripada menjalankan tugas.

``Walau apa bentuk ancaman sekalipun diterima, mereka tidak pernah tunduk, sebaliknya terus berusaha membanteras kegiatan tersebut,'' katanya selepas Persidangan Perhubungan MIC Terengganu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian sebuah kereta milik Ketua Unit Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cawangan Muar yang musnah dalam serangan bom petrol di depan rumahnya awal pagi semalam.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas lima jam Wan Kok Kiong bersama Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu merampas lebih 1,300 keping VCD cetak rompak dari sebuah gerai di tapak ekspo perdagangan dekat Stadium Muar.

Malah Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Supritendan Azmi Ahmad mengesahkan bahawa hasil pemeriksaan kimia mendapati kebakaran kereta Wan adalah perbuatan jenayah.

Menurut Subramaniam, kejadian seperti ini merupakan kali pertama dilaporkan berlaku dan pihaknya kini sedang menunggu laporan lengkap berhubung perkara tersebut.

``Anggota dan pegawai penguat kuasa pernah menerima pelbagai ancaman dan ugutan terutamanya menerusi telefon. Kita juga ada menerima laporan bahawa terdapat percubaan menyerang mereka semasa menjalankan tugas penguatkuasaan,'' tambahnya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum