Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 April 2001

Polis tahan pemandu bas bantu siasatan


RAZALI Mohd. Noor (tengah), pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 13 orang di Kampung Batu 7, Jalan Pengkalan Hulu-Baling kelmarin, ditahan di Ibu Pejabat Daerah Polis Baling semalam untuk membantu siasatan. - Gambar ISHAK RAHMAD.

BALING 21 April - Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pengkalan Hulu-Baling, dekat sini, semalam yang mengorbankan 13 peserta rombongan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Cif Inspektor Ab. Aziz Embong berkata, pemandu tersebut, Rozali Mohd. Noor, 39, ditahan selepas keluar dari Hospital Baling (HB) tengah hari ini.

``Pemandu terlibat mengalami kecederaan di kepala dan telah diberi rawatan oleh pihak hospital,'' katanya kepada para pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, polis menahannya mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan. Bagaimanapun perintah reman daripada Majistret akan diperoleh esok kerana hari ini cuti hari Sabtu minggu ketiga.

Menurutnya, pemandu tersebut mungkin direman bagi tempoh 14 hari untuk membolehkan pihak polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan yang berlaku semalam.

Dalam kejadian itu, 13 peserta rombongan AIM dari Kota Bharu, Kelantan yang dalam perjalanan ke Langkawi, terbunuh manakala 41 lagi penumpang termasuk 10 kanak-kanak cedera.

Ab. Aziz berkata, jika hasil siasatan mendapati pemandu terlibat cuai ketika mengendalikan bas tersebut, dia mungkin didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu dan menyebabkan kematian.

Sabit kesalahan dia boleh dipenjara tidak kurang dua tahun atau tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM20,000.

Mengenai siasatan, beliau menjelaskan, pihaknya akan meneliti setiap sudut termasuk kemungkinan bas tersebut mengalami kerosakan brek ketika kejadian.

``Kita akan mendapatkan bantuan daripada Puspakom untuk membuat pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit,'' ujarnya.

Kata beliau, pihak polis juga mungkin menahan pembantu pemandu bas, Ibrahim Ismail, 29, bagi membantu siasatan tetapi buat masa ini pemandu adalah sumber siasatan yang utama.

Oleh: NIZAM ABDUL HAMID, LUQMAN HAKIM dan AZMAN MOHD. NOOR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum