Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 22 April 2001

13 jenazah mangsa nahas bas selamat dikebumi

KOTA BHARU 21 April - Kesemua 13 jenazah mangsa kemalangan bas di Kampung Batu 7, Jalan Pengkalan Hulu-Baling semalam, selamat dikebumikan di kampung masing-masing di Kelantan hari ini.

Lima daripada jenazah itu dikebumikan pagi ini manakala lapan lagi dikebumikan pada sebelah petang.

Jenazah mereka yang dikebumikan pada sebelah pagi ialah Siti Normaisarah Mustafa, 8, dari Kampung Kutang Wakaf Baru; Rohani Mat Ramli, 51, dari Kampung Cempaka, Kota Bharu; Zawiah Ismail, 44, dari Kuala Krai, Kota Bharu; Ramiha Ariffin, 40, dan Che Limah @ Hasmah Che Mat, 55, dari Kampung Chempaka, Panji, Kota Bharu.

Jenazah mereka yang dikebumikan petang ini ialah Raja Naimah Raja Ibrahim, 33, dari Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian; Siti Eshah Mat Hassan, 40, dari Lorong Hilir Istana Negeri, Rohani Ibrahim, 40 dan anaknya Noradrina Mohd Fauzi, 15, dari Kampung Selamat Chempaka, Kota Bharu.

Yang lain Mohamad Idham Ariffin Ismail, 16 bulan dari Kampung Tasik, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu; Makalsom Yasda, 41, dari Kampung Mak Yong, Bachok; Che Rogayah Awang, 31, dan Ramlah Abdullah, 48, dari Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Kesemua mayat itu dibawa dari bilik mayat Hospital Baling ke Hospital Kota Bharu (HKB) dengan trak polis dan kereta jenazah.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan Rumah Mayat HKB apabila kaum keluarga 13 mangsa kemalangan maut bas rombongan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu menuntut jenazah ahli keluarga masing-masing.

Kepiluan jelas pada wajah ahli-ahli keluarga yang datang menuntut jenazah saudara mara mereka apabila tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja mayat diturunkan daripada trak Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan kenderaan jenazah.

Kenderaan yang membawa lima jenazah pertama tiba pada pukul 9.10 pagi selepas bertolak kira-kira pukul 2.30 pagi dari Hospital Baling. Lapan lagi jenazah tiba pada pukul 3.10 petang ini.

Turut mengiringi jenazah mangsa dari Kedah ialah Ketua Unit Penguat Kuasa Majlis Daerah Baling, Isa Abdul Rahman bersama dua lagi pegawai, enam anggota polis dan lima anggota JPA3.

Pengurus AIM Terengganu yang mewakili AIM Kelantan, Ruslan Mohamad mengucapkan takziah kepada semua anggota keluarga mangsa yang meninggal dunia dalam nahas berkenaan.

Beliau berkata, AIM menghulurkan bantuan segera sebanyak RM500 bagi setiap keluarga untuk urusan pengkebumian.

Bantuan seterusnya akan diputuskan oleh pihak pengurusan AIM, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada polis, hospital, JPA3 dan orang ramai yang membantu mangsa kemalangan itu.

Katanya, AIM membuka bilik gerakan 24 jam di pejabat AIM wilayah Kelantan di sini mulai semalam bagi memudahkan anggota keluarga mangsa mendapat maklumat.

Mereka boleh menghubungi bilik gerakan itu di talian 09-7478124.

Oleh: NORLIZA ABD. RAHMAN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum