Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 24 April 2001

Ibu kurung anak dihukum penjara enam bulan

DUNGUN 24 April - Suri rumah Ruhayati Muda, 30, dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah dia mengaku bersalah mendera anak lelakinya yang berusia 9 tahun dengan mengurungnya di dalam sebuah bilik kecil.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Irwan Suainbon berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira fakta kes dan rayuan daripada pihak pembela.

Beliau berkata, mahkamah memandang serius kesalahan yang dilakukan itu berdasarkan perbuatan Ruhayati yang tidak bertanggungjawab terhadap anaknya sendiri yang tidak berdaya.

Seorang anak perlu mendapat kasih sayang dan perlindungan daripada ibunya, manakala ibu pula bertanggungjawab mencurahkan kasih sayang kepada anaknya, kata beliau.

Irwan berkata, hukuman yang dijatuhkan itu merupakan peringatan dan amaran bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap kes penderaan kanak-kanak bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang.

Ruhayati didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Februari lalu dengan mengurung anaknya, Muhamad Hakim Rohimin di dalam sebuah bilik berukuran 1.2m x 1.2m di alamat TT1120 Kampung Baru Bukit Lat Serdang, Dungun.

Dia dituduh mengikut Seksyen 26 (1) Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Mohd Hakim kini ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang.

Peguam bela Mazlan Md Zin dari Pusat Bantuan Guaman ketika membuat rayuan meminta mahkamah mengarahkan Ruhayati menjalani kaunseling di klinik kerajaan.

Beliau meminta agar mahkamah tidak mengenakan denda terhadap Ruhayati kerana dia daripada keluarga miskin, manakala hukuman penjara juga tidak sepatutnya memandangkan dia telah dihukum oleh masyarakat.

Mazlan berkata, ini merupakan kes pertama Ruhayati dan mahkmah juga wajar memberi pertimbangan terhadap keadaan Ruhayati yang sedang mengandung enam bulan.

Ruhayati yang kelihatan menangis dan beberapa kali menyapu air matanya semasa rayuan dibuat, bagaimanapun kelihatan tenang semasa hukuman itu dijatuhkan.

Pendakwaan dilakukan oleh C/Inspektor Hasim Hasan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum