Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Berita Minggu 08 April 2001

Mangsa rogol dihantui pengalaman pahit

srisiantan@hotmail.com

SAYA berumur 21 tahun dan berkerja di sebuah syarikat di ibu kota. Bukan berniat memuji diri sendiri tetapi penampilan saya selalu mendapat perhatian rakan lelaki di pejabat saya.

Bagaimanapun, saya tidak menghiraukan atau memberi layanan berlebihan kepada mereka. Saya tidak ada teman lelaki dan bagi saya, saya tidak memerlukannya buat ma-sa kini.

Bukan saya tidak mahu berteman tetapi peristiwa pahit yang saya alami sering menghantui saya sekali gus menyebabkan saya enggan menerima kehadiran lelaki.

Saya pernah dirogol rakan sekerja yang saya anggap berperibadi tinggi dan bersopan santun.

Kejadian itu berlaku ketika saya bersamanya bertungkus lumus menyiapkan projek. Saya benar-benar tidak menyangka dia berniat serong terhadap saya.

Segala-galanya berlaku selepas saya makan makanan dan minuman yang dibelikannya. Seperti jalan cerita filem, selepas makan, saya berasa khayal dan tidak bermaya tetapi menyedari apa yang berlaku.

Saya tidak berupaya melawan apabila dia merogol saya. Saya hanya mampu menjerit dan merayu supaya dia tidak melakukannya.

Sesudah melakukan perbuatan terkutuk itu, dia terus beredar dari situ dan membiarkan saya keseorangan dalam keadaan yang masih lemah.

Saya tidak lagi berjumpa dengannya selepas itu kerana dia sudah meletakkan jawatan dan pergi ke luar negara.

Saya hanya memendamkan kejadian memalukan itu supaya tidak diketahui orang. Namun, ia masih lagi menghantui saya dan sering membuatkan saya seperti hilang akal apabila mengingatinya.

Bukan saya tidak cuba melupakannya tetapi gagal. Apakah yang perlu saya lakukan? Bantulah saya.

AYU
KUALA LUMPUR.



JAWAPAN


SEBELUM memanjangkan bicara, Kak Sri setulus hati ingin menyampaikan rasa simpati yang teramat sangat di atas segala kejadian yang menimpa adik. Sebagai wanita, Kak Sri terharu dan sedih kerana kejadian yang berlaku di luar kerelaan dan kemampuan adik untuk melawannya.

Pastinya adik amat tertekan kerana tempat adik mencari rezeki selama ini menjadi tempat hidup adik dimusnahkan oleh seseorang yang sepatutnya menjadi tempat berlindung.

Kak Sri tidak salahkan adik jika hidup adik tidak terurus dengan kejadian malang itu kerana sesiapa saja yang menjadi mangsa rogol akan menghadapi trauma dan mungkin sepanjang hayat.

Tambahan pula ia berlaku kerana adik dianiaya dan tidak mempunyai kekuatan untuk menghalangnya. Lebih menyakitkan, perbuatan jenayah itu dilakukan oleh seseorang yang adik anggap baik dan bersopan santun.

Adik sepatutnya bertindak pantas dengan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis supaya lelaki itu tidak terlepas daripada pengadilan. Tetapi Kak Sri tidak salahkan adik kerana sudah pasti adik masih menangisi kejadian itu dan tidak tahu apa yang seharusnya adik lakukan.

Namun, segala-galanya sudah berlaku. Menangis air mata darah sekalipun, adik tidak boleh mengembalikan apa yang sudah hilang. Yang boleh adik lakukan ialah membina semula semangat yang sudah patah dan keyakinan yang sudah rapuh.

Kejadian itu di luar kemahuan adik dan adik tidak melawan bukan kerana adik mahu ia terjadi tetapi kerana adik tidak berdaya.

Mungkin ada sesuatu yang diletakkan dalam makanan atau minuman sehingga menyebabkan adik khayal dan tidak mempunyai kudrat untuk menghalang segala perlakuannya.

Jika tidak, Kak Sri pasti adik akan menentang sedaya upaya walau nyawa menjadi galang gantinya. Nyata lelaki itu tidak bermaruah kerana sanggup menganiayai dan merogol wanita dalam keadaan tidak bermaya.

Malah lebih keji apabila dia dengan mudah melepaskan tanggungjawabnya atas kejadian itu dengan meletakkan jawatan dan melarikan diri ke luar negara. Adik pula yang terpaksa menanggung segala keperitan disebabkan perbuatannya itu.

Kak Sri memahami tekanan yang terpaksa adik tanggung ketika ini. Tambahan pula, masyarakat masih tidak dapat menerima mangsa rogol walaupun jelas ia bukan kesalahan adik.

Adik tentunya juga tidak dapat lari dari memikirkan tindakan orang lain jika kejadian itu diketahui orang lain.

Namun, menangisi segala yang terjadi tidak akan mengurangkan beban adik sebaliknya menjadikan ia lebih berat. Ia bukan salah adik dan tidak adil bagi adik untuk menanggungnya seorang diri.

Tidak mustahil adik akan hilang pertimbangan dan melakukan perkara di luar batasan semata-mata terlalu tertekan.

Oleh itu, Kak Sri cadangkan adik menemui pakar kaunseling dan meluahkan apa yang terpendam selama ini. Pengalaman dan pengetahuannya mungkin dapat membantu adik menjalani hidup dengan lebih tenang.

Adik juga tidak perlu bimbang dengan kata-kata ‘hilang harga diri’ atau ‘hilang maruah’. Bagi Kak Sri dan mereka yang mengerti, maruah dan harga diri adik masih terpelihara. Sebaliknya, maruah dan harga diri lelaki yang merogol adik itu sebenarnya yang sudah hilang.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi