Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 24 April 2001

Konsep baru cegah jenayah dicadang

PULAU PINANG 23 April - Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai hari ini mencadangkan supaya konsep pencegahan jenayah melalui reka bentuk persekitaran dipertimbangkan dalam semua bentuk perancangan pembangunan fizikal atau infrastruktur Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, konsep itu perlu mempunyai tiga ciri penting iaitu strategi penguatkuasaan, penglibatan orang ramai serta perancangan reka bentuk persekitaran termasuk reka bentuk bangunan dan landskap.

Sehubungan itu, katanya, semua ibu pejabat daerah polis (IPD) di negara ini yang akan dibina di masa depan perlu mempunyai tiga ciri penting bagi menjadikan sesebuah IPD itu sebagai `Daerah Selamat'.

``Usaha ini bukan sahaja mustahak bagi pembangunan dan infrastruktur fizikal PDRM tetapi juga penting dalam perancangan penyediaan skim perumahan tempatan dan bandar baru,'' katanya ketika berucap merasmikan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Jamil Johari dan Ketua Polis Negeri, Datuk Arthur Edmonds.

Bangunan IPD Timur Laut bernilai RM15.5 juta itu dibangunkan di atas tanah seluas 2.38 hektar pada akhir tahun 1997 dan siap pada akhir tahun 1999 mula beroperasi pada 27 Januari tahun lalu.

Menurut Norian, IPD Timur Laut yang merupakan IPD tertua di negara ini mempunyai bangunan yang indah dan moden dan menjanjikan persekitaran kerja yang selesa bagi seluruh pegawai serta kakitangannya.

``Saya percaya mereka akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas kepolisan terutama sekali tugas-tugas pembanterasan jenayah.

` `Persekitaran sedemikian akan menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat keseluruhannya,'' tambah beliau.

Selain itu, katanya, usaha-usaha pencegahan jenayah sedang giat dijalankan di Daerah Timur Laut termasuk mewujudkan empat buah pangkalan bit yang baru iaitu di Persiaran Gurney, Plaza Island, Jalan Hutton dan Pangkalan Bit Polis Pelancong di Batu Feringghi.

Beliau berkata, sejak program pencegahan tersebut dilaksanakan penurunan kadar jenayah di daerah itu berlaku dengan begitu ketara sekali .

Bagaimanapun, tegas Ketua Polis Negara itu, tanpa kerjasama dan sokongan orang awam khususnya penduduk setempat maka segala usaha pencegahan tidak akan berkesan sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai akan sama-sama menggembleng tenaga untuk mencegah jenayah dan memastikan kawasan mereka sentiasa dalam keadaan selamat.

``Polis akan sentiasa menjaga keselamatan dan memastikan hak orang ramai tidak dicabuli atau diceroboh oleh mana-mana individu tetapi orang ramai juga perlu prihatin terhadap keselamatan harta benda masing-masing,'' tambah beliau.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum