Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 24 April 2001

5,000 pemandu disaman setiap hari

KUALA LUMPUR 23 April - Sebanyak 5,000 pemandu di seluruh negara disaman oleh polis pada setiap hari kerana kesalahan memandu melebihi had laju.

Ketua Polis Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II, Ahmad Bahrin Idrus berkata, daripada jumlah itu sebanyak 10 peratus atau 500 pemandu mendapat surat saman di tempat kejadian, manakala bakinya menerima tindakan saman laju melalui pos.

Jelasnya, kesalahan dan saman yang tinggi itu adalah jumlah biasa yang direkodkan oleh polis dalam operasi sekatan jalan raya secara harian yang diadakan di seluruh negara.

``Polis sentiasa menjalankan pemantauan terhadap pemandu terutama mereka memandu dengan laju bagi mengurangkan kadar kemalangan yang tinggi di negara ini.

``Operasi sekatan jalan raya misalnya diadakan setiap hari pada jarak 10 kilometer dari kawasan jalan raya yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan,'' katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan yang diambil oleh pihak polis terhadap pemandu yang suka memecut kenderaan mereka di tempat berbahaya seperti ketika menuruni jalan atau lebuh raya berbukit.

Tiga hari lalu, 13 penumpang terdiri daripada rombongan sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia terbunuh apabila bas milik Syarikat Ekspres Mutiara yang mereka naiki terbabas sebelum menggelongsor sejauh 16 meter di Batu 7 Jalan Pengkalan Hulu-Baling.

Berikutan kemalangan itu, katanya, polis akan melanjutkan operasi mengesan pemandu laju di kawasan kerap kemalangan terutama selekoh berbahaya seperti Lebuh Raya Karak dan jalan-jalan lama yang lain.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Balakrishnan Kandasamy berkata, pihaknya akan menunggu siasatan rapi daripada polis dan membuat kajian menyeluruh sebelum mengambil keputusan mencadangkan bas kilang dan bas berhenti-henti memasang kotak hitam.

Setakat ini, katanya, hanya bas persiaran yang diwajibkan meletakkan kotak hitam untuk tujuan keselamatan kerana ia melibatkan perjalanan jauh.

``Bas kilang tidak mempunyai kotak hitam tetapi dibenarkan membawa penumpang untuk perjalanan jauh jika memohon permit dari JPJ,'' katanya.

Katanya, meskipun tidak terlibat dalam operasi menahan pemandu laju, JPJ berperanan menyedarkan pemandu dengan mengedarkan risalah keselamatan jalan raya melalui Operasi Sedar yang diadakan di seluruh negara sejak bulan lalu.

Oleh: ANGELINA SINYANG

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum