Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 25 April 2001

Dua lelaki, seorang wanita dituduh berdagang senjata api


TIGA tahanan yang dituduh berdagang senjata api, Norila Ismail (bertudung), Ahmad Zaini Zainol (atas kiri) dan di depannya, Nor Razi Hashim meninggalkan Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 24 April - Dua lelaki dan seorang wanita hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi di sini atas tuduhan bersama berdagang senjata api di sebuah rumah di Simpang Ampat di sini, Januari lalu.

Ahmad Zaini Zainol, 27, Nor Rozi Hashim, 32, dan Norila Ismail, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah No 3, Lorong Idaman 2/2, Taman Idaman, Simpang Ampat pada pukul 1.15 pagi, 11 Januari lalu.

Mereka dituduh berdagang tiga pucuk pistol daripada jenis SIG SOVER P288, Browning FN dan Browning BDM buatan Amerika Syarikat, selaras pump gun jenis Remington buatan Amerika Syarikat, selaras SMG dan selaras shot gun pumpaction jenama Mossberg buatan Amerika Syarikat, 20 butir bom tangan dan 528 butir peluru daripada jenis 9mm, 7.65mm, .45, .25mm dan 70mm.

Mereka didakwa menurut Seksyen 7 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Ahmad Zaini dari Mengkuang, Bukit Mertajam dan Nor Rozi dari Jitra, Kedah diwakili peguam Simon Murali daripada tetuan Karpal & Co manakala Norila dari Kulim tidak diwakili peguam.

Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, ketiga-tiga mereka mengaku faham tuduhan itu tetapi tiada sebarang pengakuan dicatatkan.

Simon berkata Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes itu kerana ia melibatkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Majistret Rusita Md. Lazim berkata, pendakwa mempunyai kuasa untuk mendakwa ketiga-tiga mereka menurut mana-mana seksyen dan memilih untuk mendakwa mereka di mahkamah itu.

Katanya, beliau menerima cadangan pendakwaan untuk menyebut kes itu di mahkamah itu sementara menunggu pendakwaan mendapatkan rekuisisi daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Beliau menetapkan 25 Jun ini menyebut semula kes itu di Mahkamah Majistret Jawi.

Terdahulu itu, mahkamah yang sama mendengar sebutan kes ketiga-tiga mereka dan seorang lagi lelaki, Farok Khan Abdul Rahim, 25, dari Sungai Pinang, Georgetown yang menghadapi dua tuduhan mengedar 427,000 gram ganja di rumah yang sama dan dalam sebuah kereta di Simpang Ampat di sini pada tarikh yang sama.

Dalam kes ini, Murali mewakili Ahmad Zaini, Nor Rozi dan Farok Khan manakala Norila tidak diwakili mana-mana peguam.

Bagi tuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa mengedar 400,000 gram ganja di rumah yang sama pada masa dan tarikh yang sama manakala bagi tuduhan kedua mereka didakwa mengedar 27,000 gram ganja dalam kereta Vitara bernombor BEA 4673 di hadapan rumah berkenaan pada waktu dan hari yang sama.

Mereka dituduh menurut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kedua-dua pertuduhan itu dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B (2) akta yang sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi kes itu, Rusita menetapkan tarikh 25 Jun ini untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan kimia serta membolehkan pendakwaan mendapatkan rekuisisi daripada Pejabat Timbalan Pendakwa raya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum