Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 April 2001

2 maut, ribuan kenderaan terperangkap banjir di KL


BEBERAPA anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan orang awam yang terperangkap dalam banjir kilat di sekitar Jalan Melaka berhampiran stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, petang semalam.

KUALA LUMPUR 26 April - Banjir kilat akibat hujan lebat hampir dua jam di ibu negara petang ini mengakibatkan beribu-ribu kenderaan terperangkap, manakala dua orang mati terkena kejutan elektrik dan terjatuh.

Menurut jurucakap Polis Trafik, keadaan kelam-kabut berlaku apabila beribu-ribu kenderaan tidak dapat bergerak lebih tiga jam.

Kesesakan lalu lintas mulai pulih selepas pukul 6 petang apabila hujan mulai reda dan beberapa kawasan yang dinaiki air surut.

Dua yang mati terkena kejutan elektrik dan terjatuh ialah Tani Arafah, 25, dan Leang Yew, 86.

Tani mati terkena kejutan itu ketika membantu pekerja sebuah kedai menyelamatkan barang-barang daripada ditenggelami air di Lebuh Ampang di sini.

Dua lagi rakan Tani yang cuba menyelamatkannya, cedera dan kini dirawat di Hospital Tong Shin di Jalan Pudu.

Leang pula mati kerana terjatuh di dalam rumahnya sewaktu bekalan elektrik terputus ketika hujan lebat di Kilometer 4.5 Jalan Klang Lama, di sini.

Banjir itu yang berpunca dari hujan lebat selama dua jam bermula pukul 1 tengah hari ini menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air sedalam satu meter.

Bagaimanapun tidak ada penduduk yang dipindahkan.

Dalam pada itu, lebih 10 buah kenderaan yang diletakkan berhampiran pusat membeli-belah Kotaraya dan Jalan Kuari, Cheras Baru ditenggelami air sedalam satu meter.

Beberapa buah kenderaan turut dilaporkan terjatuh ke dalam lubang besar ketika banjir kilat yang melanda ibu negara.

Jelas beliau, antara jalan-jalan yang sesak ialah Jalan Tun Razak berhadapan Perpustakaan Negara, Jalan Chan Sow Lin berhampiran Lebuh Raya Besraya, Jalan Dang Wangi berhadapan Kompleks Wilayah, Jalan Cheng Lock berhadapan Kotaraya.

Jalan Tun Perak, Lebuh Pasar, Jalan Sultan Ismail berhampiran persimpangan Raja Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Yap Kwan Seng dan Jalan Raja Muda.

Jurucakap trafik itu memberitahu, semua anggota trafik telah dikerahkan untuk mengawal kesesakan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.

``Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan dilaporkan berlaku ekoran kesesakan teruk ini,'' ujar beliau.

Sementara itu, Petugas dari Skuad Penyelamat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Koperal Karim Mohd. Ia berkata, beberapa tempat di sekitar ibu kota dan pusat bandar telah dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang ini.

``Antara kawasan yang mengalami banjir kilat adalah Kampung Brunei, Jalan Chan Sow Lin, Kampung Periuk dan Jalan Raja Uda di Kampung Baru, Jalan U Thant, Jalan Pandan, Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang.

``Selain itu, banjir kilat juga berlaku di Jalan Davis, Jalan Ampang berhampiran Wisma AIA, Jalan Rahmat, Kampung Datuk Keramat, dan Taman Kosas Fasa II, Ampang,'' katanya ketika dihubungi petang ini.

Bagaimanapun, sehingga petang ini tidak ada mangsa dipindahkan.

Hujan lebat itu juga mengakibatkan tebing runtuh di Seksyen 5 (Jalan 14/27A), Wangsa Maju. Empat buah rumah mengalami kerosakan di bahagian dapur.

Di Taman Kosas Fasa II, hampir separuh rumah di kawasan itu telah dimasuki air ekoran hujan lebat yang bermula tengah hari ini.

Norhayati Shamsudin, 43, berkata, dalam tempoh sebulan ini sahaja, rumahnya telah dimasuki air sebanyak tiga kali.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat meletakkan kebanyakan barang-barang di dalam rumah itu kerana bimbang ditenggelami air.

Norhayati memberitahu, Persatuan Kebajikan Taman Kosas telah mengajukan masalah itu kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan juga ADUN Lembah Jaya.

Bagaimanapun, katanya, sejak longkang di kawasan itu diperbaiki beberapa tahun lalu, sehingga hari ini belum ada tindakan lain dilakukan untuk mengatasi masalah penduduk di kawasan ini.

Abdul Aziz Ahmad, 35, berkata, beliau terpaksa membelanjakan RM400 untuk menyiapkan benteng di hadapan dan juga belakang rumah bagi mengelakkan air memasuki rumah.

Menurutnya, benteng yang baru siap semalam itu banyak membantunya kerana air tidak melimpah masuk ke rumahnya hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, ini tidak memadai kerana pihak berkuasa sepatutnya mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan itu.

``Tindakan membina benteng kebanyakan penduduk di sini tidak cukup kerana banjir kilat tetap berlaku di hadapan rumah kami,'' jelasnya.

Seorang lagi, Kamaruddin Mohd. Nor, 48, berkata, beliau sekeluarga sangat bimbang untuk meninggalkan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurut beliau, walaupun beliau telah membina tembok di hadapan rumahnya, tetapi air tetap memenuhi bahagian dapur rumahnya setiap kali hujan.

Kebanyakan penduduk di kawasan itu percaya banjir yang berlaku di kawasan perumahan itu berpunca daripada kawasan pembinaan baru yang tidak menyediakan sistem saliran yang betul.

Akibat daripada itu, air longkang yang deras dari kawasan pembinaan baru itu telah masuk ke sungai dan kemudiannya melimpah ke Taman Kosas.

Oleh: TEON EG, HASHNAN ABDULLAH dan SUFFIAN ABU BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum