Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 April 2001

Ibu temui mayat anak berlumuran darah

TUMPAT 26 April - Seorang wanita menemui mayat anak lelakinya dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai mangsa pembunuhan, di rumah mereka di Kampung Kebakat dekat sini pagi ini.

Ketua Daerah Polis Tumpat, Supritendan Fuad Talib berkata mayat Sow Ching Ching, 21, seorang pengusaha barangan aluminium, ditemui ibunya dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan dan berdarah di kepala di dalam biliknya.

Siasatan awal mendapati Sow ditetak dengan senjata tajam antara 12.30 tengah malam dan 7.30 pagi ini, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh dihukum mati.

Fuad berkata, Sow dikatakan berbual dengan beberapa orang rakannya ketika menyiapkan urusan perniagaan di rumah berkenaan lewat malam tadi.

Beliau berkata, kesan dan titisan darah mangsa ditemui di sekitar kawasan rumah.

Mayat Sow dihantar ke Hospital Kota Bharu untuk bedah siasat, katanya.

Sementara itu, nenek Sow, Teo Mek Seng, 75, berkata dia melihat cucunya berbual bersama beberapa rakannya malam tadi dan beliau tidak nampak mereka berselisih faham.

Katanya, Sow sering menyiapkan kerja di rumah kerana tempahan barangan aluminium meningkat sejak akhir-akhir ini.

``Saya terkilan kerana Sow adalah anak tunggal dan akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi,'' katanya.

Ibu Sow yang terkejut dengan peristiwa itu tidak dapat bercakap dengan pemberita kerana terlalu sedih kehilangan anak kesayangannya. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum