Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 April 2001

Pengalaman 10 jam menjadi tebusan

KUALA LUMPUR 26 April - Kapten (B) Mohd. Yunus Alias tidak menganggap pengalamannya ditahan selama 10 jam oleh kumpulan bersenjata pro-Chechen di Istanbul, Turki, Sabtu lalu, sebagai sesuatu yang menakutkan.

Sebaliknya, Pengarah Logistik Perwaja Steel itu tidak keberatan untuk mengunjungi lagi negara berkenaan jika mempunyai urusan.

Menurut beliau, walaupun kumpulan itu bersenjata tetapi mereka tidaklah ganas dan hal ini terbukti kerana mereka memohon maaf kepada semua tebusan atas peristiwa tersebut.

``Timbul simpati pada diri saya kerana kumpulan itu menyatakan bahawa mereka berbuat demikian untuk mendapat perhatian dunia tentang perjuangan mereka,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Bangsar sejurus kembali ke tanah air, pagi ini, dari Istanbul.

Menceritakan detik-detik cemas Sabtu lalu, Mohd. Yunus memberitahu, beliau menerima panggilan telefon daripada operator hotel pada pukul 2 pagi (waktu Turki) yang memintanya turun segera ke lobi hotel kerana berlaku kecemasan.

``Pada fikiran saya, mungkin berlaku gempa bumi atau kebakaran dan tidak menyangka akan menjadi tebusan selepas itu,'' katanya.

Setelah keluar dari lif untuk ke lobi hotel, beberapa orang yang bersenjata mengarahkan beliau supaya berdiri di hadapan cermin hotel itu sebagai perisai mereka.

``Dari situ saya dapat mengagak bahawa hotel itu telah ditawan oleh kumpulan bersenjata itu dan melihat beberapa kesan tembakan di bahagian hadapan cermin hotel tersebut.

``Saya disuruh berdiri di hadapan cermin itu bersama lima lagi tebusan lain dan kelihatan ramai polis yang sedang menunggu di luar hotel itu,'' katanya.

Semasa berada di situ, beliau dapat melihat dari jauh para menteri dan gabenor Turki keluar masuk ke hotel itu untuk berbincang sesuatu dengan kumpulan bersenjata tersebut.

Menurutnya, beliau berada di Hotel Swiss Bosphorus di Istanbul kerana menghadiri Simposium Logam Besi Antarabangsa Ke-12 selama tiga hari yang dihadiri oleh para perwakilan dari 31 buah negara.

Katanya, selepas beberapa jam menjadi tebusan, beliau meminta kebenaran untuk ke bilik kerana hendak makan ubat darah tinggi dan kencing manis, sebelum beliau ditempatkan di tingkat bawah hotel itu bersama lebih seratus tebusan lain.

Kumpulan bersenjata itu kemudiannya menyuruh semua tebusan meniarap di lantai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Setelah 10 jam ditahan di tingkat bawah hotel itu, seorang kakitangan hotel memberitahu bahawa mereka mungkin akan dibebaskan tidak lama lagi.

``Bagaimanapun, kakitangan itu tidak memberikan sebarang jaminan dan hanya menyuruh tebusan berdoa sahaja.

``Lebih kurang sejam selepas itu, kumpulan bersenjata mengumumkan untuk membebaskan semua tebusan dan memohon maaf kepada kami semua di atas peristiwa itu,'' katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohd. Yuszary, 20, yang menuntut di salah sebuah pusat pengajian di Brisbane, Australia, menyatakan rasa bersyukur kerana bapanya selamat dan sihat.

``Saya mendapat tahu berita bapa saya dijadikan tebusan melalui berita CNN dan terus menelefon ibu di rumah.

``Saya sentiasa mengikuti perkembangan kejadian itu dari media Australia dan berdoa agar bapa saya selamat,'' katanya yang baru pulang semalam untuk membuat kejutan kepada bapanya.

Seorang lagi anaknya, Mohd. Zafri, 19, berkata, dia mendapat tahu berita bapanya dijadikan tebusan apabila tiba di KLIA ketika balik bercuti setelah melancong ke Australia .

``Apabila tiba di rumah, ibu memberitahu bahawa bapa telah selamat dibebaskan dan saya berasa lega sekali,'' katanya.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum