Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 April 2001

Jenayah: Lima siswa didakwa

PULAU PINANG 26 April - Lima pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini dihadapkan di tiga mahkamah berasingan di sini atas dua tuduhan berasingan iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan merogol seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah rumah di sini awal bulan ini.

Di Mahkamah Sesyen, Mohd. Faizal Shamsudin, 21, dari Parit, Perak didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat merogol seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah bilik belakang di Blok 308-9-3A Taman Jade View Bukit Gambier, Gelugor dalam Daerah Timur Laut pada pukul 11 malam 9 April lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Mohd. Faizal mengaku tidak bersalah dan meminta agar dibicarakan.

Hakim Rosilah Yop menetapkan 11, 12 dan 13 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan dan tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh ditahan oleh polis pada 11 April lalu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Salim Soid di hadapan Hakim Rosilah Yop.

Mohd. Faizal diwakili oleh peguam K. Vijayanathan serta dibantu oleh N. Ahilan.

Sementara itu, empat lagi pelajar universiti yang sama dihadapkan di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan gadis yang sama pada pukul 11.20 malam bilik belakang Blok 308-9-3A, Taman Jade View Bukit Gambier, Gelugor 9 April lalu.

Azri Razif Johari, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Majistret Roslan Hamid menetapkan 11 Jun depan untuk tarikh perbicaraan dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan.

Azri Razif yang diwakili peguam Badruzzaman Ishak didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Cif Inspektor Low Kam Fatt.

Di satu lagi mahkamah, tiga rakan Azri turut didakwa atas tuduhan melakukan perbuatan yang sama ke atas mangsa yang sama pada tarikh, tempat dan masa yang sama.

Mereka ialah Mohd. Shah Rizal Johari dari Kampung Pengkalan Pagoh, Lahat, Perak, Mohamad Qhairan Adzlee Mohd. Zaki, dari Perumahan Fasa 2 Sauk, Perak masing-masing berumur 22 tahun dan Zamir Azim Zainal Azim, 23, dari Lorong Kubur, Butterworth.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Majistret S. Thangavelu menetapkan 11 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Thangavelu juga membenarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Mohamad Qhairan dan Zamir Azim diwakili oleh peguam Badruzzaman manakala Mohd. Shah Rizal tidak diwakili oleh peguam.

Pendakwaan ke atas Mohamad Qhairan dan Mohd. Shah Rizal dijalankan oleh Cif Inspektor Lim Jiang Yuan manakala Zamir Azim pula oleh Cif Inspektor Abdul Razak Hasbi.

Oleh: NIK KHUSAIRI IBRAHIM

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum