Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 27 April 2001

Serangan bertubi gerunkan Jemari

KUALA LUMPUR 26 April - Seorang anggota kumpulan Al-Ma'unah mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia semakin gerun dan tidak faham kerana diserang bertubi-tubi oleh pasukan keselamatan hingga hampir meragut nyawanya ketika berada di Bukit Jenalek, Sauk, Perak pada awal Julai tahun lalu.

Jemari Jusoh mengatakan demikian dalam keterangan membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pemeriksaan semula oleh peguam belanya, Zamani Ibrahim, tertuduh itu diminta menjelaskan berhubung beberapa keterangan yang telah diberikannya semasa menjawab soalan pada pemeriksaan balas pihak pendakwa semalam.

Zamani meminta anak guamnya supaya menerangkan mengapa pada awalnya dia enggan pergi ke Bukit Jenalek.

Jemari menjawab bahawa pada waktu hendak pergi kursus ia adalah penghujung bulan Jun yang bermakna dia belum mendapat gaji.

Dalam waktu yang sama, katanya, keperluan di rumahnya adalah lebih penting yang bermaksud menyediakan stok bulanan.

``Tetapi memandangkan ilmu yang hendak dipelajari lebih penting yang maksud saya ialah peringkat tinggi dan peluang untuk berlatih bersama tentera itu membuat saya tukar fikiran pergi juga ke Bukit Jenalek,'' jelasnya.

Sebelum pergi, Jemari mengatakan dia mendapat pinjaman kewangan daripada tauke tempat bekerja dan sekali gus meminta cuti.

Jemari, 33, memberi keterangan pembelaan itu pada perbicaraan yang masuk hari ke-69 hari ini. Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Dia menghadapi tuduhan bersama 18 anggota Al-Ma'unah lain termasuk ketuanya, Mohd. Amin Mohd. Razali.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan boleh dikenakan denda jika tidak dihukum mati.

Dalam keterangan seterusnya, Jemari menjelaskan dia bercadang untuk balik pada hari Selasa selepas kursus tersebut tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kunci kereta kawan-kawan yang lain dipegang oleh Mohd. Amin.

Tertuduh itu juga mengatakan antara sebab lain dia tidak balik kerana takut pada Mohd. Amin dan dia juga begitu keliru dengan keadaan di situ (Bukit Jenalek).

Dia juga menjelaskan pada masa di Bukit Jenalek itu, dia menggunakan apa yang ada sahaja dengannya seperti makanan, minuman dan rokok selain beristighfar dan berzikir.

Tambahnya, dia berdiam diri sahaja di tempat duduknya kerana dalam keadaan takut.

``Pada masa itu saya bersendirian walaupun saya makan tetapi tidak dapat bergerak ke mana-mana yang maksudnya makan pun tidak sempurna sebab sangat takut,'' jelas Jemari.

``Bagaimana perasaan kamu sepanjang berada di Bukit Jenalek?'' soal peguam bela.

Jemari berkata, pada awalnya, dia keliru kerana apakah yang hendak dilakukan di situ selain bersembahyang, berwirid dan berzikir.

Menurutnya, pada akhir-akhir hari di situ dia merasa semakin gerun dan tidak faham langsung sebab dia diserang beberapa kali oleh pihak keselamatan yang hampir meragut nyawanya.

Dalam pada itu, katanya, terdapat empat orang anggota Al-Ma'unah yang keluar meninggalkan Bukit Jenalek pada hari pertama yang dikatakan untuk berkursus di situ iaitu 2 Julai tahun lalu.

Peguam bela bertanya sama ada dia juga ada niat untuk melarikan diri dari tempat tersebut.

Jemari berkata, dia ada niat untuk meninggalkan Bukit Jenalek tetapi tidak ada keupayaan kerana takut kepada Mohd. Amin.

Tambahan pula, katanya, kawasan itu telah dikepung oleh pasukan keselamatan.

``Dan yang penting sekali saya tidak tahu pun di manakah kedudukan atau lokasi saya yang sebenarnya pada masa itu,'' jelasnya.

Perbicaraan bersambung pada Isnin ini.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum