Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 30 April 2001

Rahim Noor diarah jalani hukuman penjara mulai hari ini

KUALA LUMPUR 30 April - Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor agar menjalani hukuman penjara mulai hari ini selepas menolak rayuannya terhadap hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Keputusan terhadap Abdul Rahim, 57, itu dibuat oleh Hakim Datuk Shaik Daud Ismail, yang bersidang bersama Datuk Mohd Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.

Abdul Rahim dihukum penjara dua bulan dan denda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu kerana mencederakan Anwar dalam lokap polis di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini pada pukul 10.45 malam, 20 September, 1998.

Abdul Rahim membayar denda itu.

Beliau didakwa dan dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir membenarkan penangguhan hukuman penjara ke atas Abdul Rahim sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pada 15 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin menolak rayuan berhubung hukuman penjara, tetapi mengetepikan hukuman denda yang dijatuhkan ke atas Abdul Rahim.

Zulkefli bagaimanapun membenarkan permohonan Abdul Rahim bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan serta mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum