Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 30 April 2001

Operasi mengejut di disko -- Polis dapati 205 pengunjung positif menagih pil khayal ecstasy

KUALA LUMPUR 29 April _ Operasi yang dilancarkan oleh polis di sebuah disko di Sri Damansara di sini, awal pagi ini, membawa hasil mengejutkan apabila 205 orang pengunjungnya didapati positif menagih pil khayal ecstasy.

Dipercayai inilah jumlah terbesar mereka yang disahkan menggunakan pil tersebut dalam satu operasi polis setakat ini - melibatkan hanya sebuah pusat hiburan.

Dalam operasi mencegah ecstasy yang bermula pukul 3.30 pagi hingga pukul 10 pagi ini, kira-kira 900 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu 652 orang telah dibawa ke Balai Polis Damansara untuk ujian air kencing.

Jurucakap polis dari bahagian narkotik daerah Petaling Jaya memberitahu, setakat pemeriksaan dari pukul 8 pagi hingga 11 malam ini, terdapat 205 orang didapati positif menagih pil tersebut.

Beliau menjangkakan jumlah mereka yang positif menagih pil itu dijangka bertambah kerana lebih 100 orang lagi pengunjung disko itu masih belum menjalani ujian air kencing.

``Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati 205 orang adalah positif mengambil Methylene dioxy methaphetamine (MDP) iaitu terdiri daripada 128 wanita dan 77 lelaki.

``Kita akan mengetahui keputusan ujian air kencing itu lewat malam ini apabila ujian air kencing dibuat ke atas lebih 100 orang lagi,'' katanya ketika ditemui di sini, lewat petang ini.

Operasi mencegah ecstasy di disko itu pagi ini melibatkan 50 pegawai dan anggota polis dari bahagian narkotik daerah Petaling Jaya.

Operasi yang diketuai sendiri oleh Ketua Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Deputi Supritendan Mohd. Shahrizan Che Mat Din, adalah ekoran aduan orang ramai mengenai kegiatan pengambilan ecstasy secara berleluasa oleh pengunjung disko berkenaan.

Menurut jurucakap polis itu lagi, ketika serbuan dilakukan pasukan tersebut mendapati kira-kira 30 biji pil dipercayai ecstasy berselerak di lantai disko itu.

Beliau berkata, daripada 652 orang yang ditahan itu, seramai 15 adalah wanita Thailand dan kira-kira 30 orang lagi wanita Indonesia yang memasuki negara ini secara sah tetapi dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Rata-rata mereka yang ditahan berusia antara 18 tahun dan awal 40-an.

``Polis turut menahan seorang wanita bersama seorang anak perempuannya yang masih belajar dan bawah umur. Hasil pemeriksaan didapati kedua-duanya positif ecstasy,'' katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, semua mereka yang positif ecstasy itu telah dibebaskan dengan ikat jamin.

``Tetapi kes mereka akan dirujuk kepada Pendakwa Raya Shah Alam jika ujian air kencing kali kedua di hospital nanti menunjukkan hasil positif,'' jelasnya.

Mereka yang positif, katanya, boleh didakwa di bawah Seksyen 15 (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Tambahnya, polis akan terus menggerakkan operasi mencegah ecstasy secara berterusan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, orang ramai kebanyakannya ibu bapa memenuhi sekitar Balai Polis Damansara sejak pagi hingga malam ini bagi menjamin anggota keluarga mereka dan rakan yang ditahan.

Keadaan itu menyebabkan suasana hingar bingar dan sebahagian mereka seakan `berkampung' termasuk makan dan minum di situ sementara menanti perkembangan pemeriksaan ke atas anak-anak mereka yang ditahan.

``Kita mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai,'' kata jurucakap polis itu lagi.

Gerakan memerangi penagihan pil ecstasy semakin mendapat perhatian pihak berkuasa ekoran kempen besar-besaran yang dilancarkan oleh parti MCA pada tahun lalu untuk menyelamatkan muda-mudi keturunan Cina yang banyak terbabit dalam gejala penagihan pil khayal itu.

Berdasarkan laporan polis, penglibatan remaja Melayu dalam gejala itu kebelakangan semakin membimbangkan terutama di bandar-bandar besar.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum