Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 06 April 2001

Usaha banteras video haram tidak serius

KUANTAN 7 April - Kerajaan memandang berat sikap tidak serius pelbagai pihak terhadap usaha-usaha membanteras pusat video haram serta kafe siber yang menyalahgunakan premis serta lesen di seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, kerajaan mendapati walaupun pusat-pusat video telah diharamkan oleh kerajaan tahun lalu, hakikatnya tidak ada tindakan diambil.

``Kita pandang berat perkara ini. Kita sudah haramkan tetapi tidak diambil tindakan.

``Jangan lambat-lambatkan tindakan untuk membanteras pusat video haram ini, kita kena tingkatkan usaha,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelarasan antara kementerian berkenaan dan kerajaan-kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan yang bertindak menangani gejala pusat video haram dan kafe siber yang tidak sihat itu sepatutnya meminta bantuan pihak berkuasa lain.

``Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tingkatkan dan percepatkan usaha membanteras, dapatkan bantuan polis,'' ujarnya.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat jawatankuasa kabinet akan datang.

Dalam pada itu katanya, usaha untuk menjadikan PBT-PBT seluruh negara sebagai PBT negeri akan dapat direalisasikan jika pindaan undang-undang yang berkaitan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, langkah-langkah ke arah menjadikan PBT sedia ada kepada PBT negeri sebenarnya sudah siap tetapi perlu menunggu beberapa pindaan terhadap undang-undang berkaitan di Parlimen.

Beliau berkata, jika menjadi kenyataan, peluang bagi kakitangan PBT untuk mendapat kenaikan pangkat akan lebih luas lagi berbanding sekarang.

``PBT sedia ada bersifat tertutup kerana masing-masing ada kuasa sendiri. Mereka yang bagus hanya boleh naik pangkat dalam PBT itu sendiri, tidak boleh pergi ke PBT lain.

``Tetapi jika PBT sedia ada sekarang dibuka supaya menjadi PBT negeri, keadaan itu akan dapat diubah,'' jelasnya.

Kata beliau, semua PBT seluruh negara akan diserap menjadi PBT negeri masing-masing kecuali Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT di Perlis, Sabah dan Sarawak.

Oleh: SAMSOR JUNET

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum