Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 09 April 2001

Isteri dakwa suami diculik empat lelaki mengaku polis

KUALA LUMPUR 8 April - Seorang pengusaha kantin, Nazilah Supri mendakwa suaminya, Saidi Ba'e diculik oleh empat lelaki yang mengaku sebagai anggota polis berhampiran Tol Grand Saga dekat Cheras Perdana di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 5 petang itu, keempat-empat lelaki berkenaan yang menaiki kereta jenis Proton Saga turut merompak wang tunai berjumlah RM5,000 dan melarikan kereta Proton Saga milik suaminya bernombor pendaftaran WCY 2075.

Nazilah, 38, yang ditemui Utusan di rumahnya hari ini berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah bersama suaminya dan bapa saudara mereka, Naim Pie, 40, dari Kajang dekat sini.

Nazilah berkata, ketika tiba di tempat kejadian sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki empat lelaki berpakaian preman tiba-tiba menghalang kereta yang mereka naiki.

``Keempat-empat lelaki berkenaan yang mengaku sebagai anggota polis mengarahkan kami keluar daripada kereta untuk diperiksa.

``Setelah menunjukkan kad kuasa polis, saya dan suami diarahkan menaiki kereta mereka manakala pakcik saya dibawa oleh seorang lelaki lain menaiki kereta suami,'' ujar Nazilah.

Nazilah yang merupakan penduduk tetap di negara ini berkata, ketiga-tiga lelaki berkenaan telah membawanya dan suami menaiki kereta mengelilingi pusat bandar selama hampir dua jam.

Sementara bapa saudaranya dibawa menaiki kereta suaminya oleh seorang lagi lelaki ke tempat lain.

``Semasa dalam perjalanan saya dan suami telah dimaki hamun oleh salah seorang lelaki terbabit yang turut menggertak hendak membawa kami berdua ke balai polis.

``Pada masa yang sama, lelaki itu juga menunjukkan sepucuk pistol yang terselit di pinggangnya membuatkan saya dan suami bertambah takut,'' kata Nazilah lagi.

Kata Nazilah, setelah dua jam dibawa menaiki kereta, dia telah diturunkan di Ampang tetapi suaminya yang memegang wang tunai hasil perniagaan mereka yang berjumlah RM5,000 telah dilarikan oleh lelaki-lelaki berkenaan.

Nazilah seterusnya memberitahu, dia kemudiannya pergi ke rumah saudara mereka dengan teksi sebelum ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu, bapa saudara Nazilah yang turut ditemui di rumahnya memberitahu, dia telah dibawa ke Brickfield oleh salah seorang lelaki berkenaan dengan kereta suami Nazilah.

``Lelaki itu tidak berkata apa-apa selain beberapa kali mengugut kononnya hendak membawa saya ke Bukit Aman,'' ujar Naim.

Beliau menambah, mereka kemudiannya meninggalkannya di Brickfield dan terus melarikan diri dengan kereta tersebut.

``Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dengan bas dan terkejut apabila mendapati hanya Nazilah sahaja yang ada di rumah,'' ujar beliau.

Sementara itu, ibu pejabat Polis Daerah Kajang ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh mangsa dan memberitahu siasatan sedang dijalankan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum