Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 01 Mei 2001

Pos Laju lambat: Kerani Pos direman

SEREMBAN 30 April - Polis menahan reman seorang kerani Pejabat Pos Rembau, Jumaat lalu berhubung aduan seorang bapa mengenai kelewatan pengiriman surat permohonan dua anaknya ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bulan lalu.

Kerani lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an itu ditahan di rumahnya sebelum direman untuk membantu siasatan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau, Asisten Supritendan Norfazli Abdul Samad berkata, lelaki itu bagaimanapun dibebaskan kira-kira pukul 9 pagi ini dengan jaminan polis.

``Kertas siasatan berhubung kes ini akan dimajukan kepada pihak atasan untuk mengambil tindakan lanjut,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menjalankan siasatan ke atas kerani terbabit mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara untuk tempoh sehingga 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Kes tersebut mendapat perhatian umum apabila seorang bapa, Deputi Supritendan (DSP) Ibrahim Mohd. Aris, mendakwa Pejabat Pos Rembau lalai sehingga menyebabkan impian dua anak lelakinya untuk melanjutkan pendidikan ke universiti berkecai.

Ini kerana, katanya, surat permohonan ke IPTA yang dihantar melalui Pos Laju pada 7 Mac lalu hanya sampai ke Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada 29 Mac iaitu mengambil masa 22 hari.

Anaknya, Mohd. Haniff, 18, dan Mohd. Fazli, 19, yang mendapat 6A dan 4B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu telah menghantar borang permohonan itu sebelum tarikh tutup pada 12 Mac.

Oleh: ZULKIFLI ABDULLAH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum