Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Kadar jenayah seluruh negara turun tiga bulan pertama tahun ini

MELAKA 4 Mei - Kadar jenayah di seluruh negara bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 8.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mohamad Jamil Johari hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 39,800 kes jenayah dilaporkan di seluruh negara berbanding 43,500 kes bagi tempoh yang sama dalam tahun lalu, yang turut meliputi jenayah indeks dan harta benda.

"Penurunan ini hasil pemantauan dan usaha pencegahan yang dilakukan oleh polis dengan kerjasama orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat susulan pencegahan jenayah bagi negeri Melaka di Ibu Pejabat Daerah Polis Melaka Tengah di sini.

Katanya, bagi penyelesaian kes-kes jenayah sepanjang tempoh itu pula, sebanyak 31 peratus kes dapat diselesaikan menghampiri sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini iaitu 35 peratus.

"Penyelesaian kes itu juga turut melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Interpol pada tahun ini iaitu 20 peratus," katanya.

Beliau berkata, kontinjen-kontinjen yang besar iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Johor juga menunjukkan kadar penurunan kadar jenayah yang ketara untuk tempoh yang sama.

Mohamad Jamil berkata, polis melalui bahagian perisikannya sentiasa mempergiatkan usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini termasuk mendapat kerjasama baik daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan.

Mengenai larangan lawatan keluarga bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam tempoh 60 hari selepas ditangkap, beliau berkata, larangan itu tidak semestinya dalam tempoh berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, ia juga bergantung kepada siasatan yang dilakukan oleh polis dan mengikut kesesuaian untuk tahanan ISA itu dibenarkan dilawati oleh keluarga mereka.

Sekiranya polis berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan, ia boleh membenarkan keluarga tahanan terbabit melawat walaupun tidak sampai 60 hari, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aktivis reformasi Raja Petra Raja Kamaruddin yang ditahan mengikut ISA sejak 22 hari lepas dibenarkan berjumpa dengan keluarganya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur kira-kira pukul 3 petang semalam. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum