Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Lelaki nyaris mati kereta jatuh dalam lubang besar

KUALA LUMPUR 3 Mei - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terjatuh ke dalam sebuah lubang besar akibat kejadian tanah jerlus di Kilometer 7 Jalan Klang Lama dekat sini, awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 pagi ketika Ng Hong Keong,54, seorang pekerja The New Strait Times Press (NSTP) dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Happy Garden, Jalan Klang Lama.

Dia bagaimanapun berjaya naik daripada lubang berkenaan dengan mengalami kecederaan ringan.

Menurut jurucakap polis, seorang pemandu teksi yang kebetulan lalu di kawasan terbabit membawanya ke klinik yang berhampiran.

Lubang tersebut yang asalnya kecil dikatakan menjadi semakin besar ekoran tanah di kawasan tersebut jerlus.

Sementara itu seorang jurucakap bomba memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira pukul 9.40 pagi.

``Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa yang berlaku walaupun lubang yang terbentuk itu agak besar,'' ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Utusan difahamkan jalan berkenaan jerlus sedikit demi sedikit disebabkan paip air yang pecah di dalam tanah membentuk sebuah lubang besar seluas kira-kira lima meter.

Beberapa orang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan membaiki jalan tersebut.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum