Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Suami isteri ditahan ekoran bayi dikebumi secara misteri

KUALA TERENGGANU 3 Mei - Mayat seorang bayi perempuan yang dikebumikan oleh bapanya di kawasan rumah 10 hari lalu, digali semula oleh pihak polis pagi ini ekoran kematian bayi berusia sehari itu diselubungi misteri.

Polis turut menahan sepasang suami isteri yang dikatakan cuba menyembunyikan kelahiran serta kematian bayi berkenaan yang disahkan sebagai anak mereka di Jalan Pusara, di sini Sabtu lalu.

Polis juga menyiasat kemungkinan bayi berkenaan masih hidup semasa dilahirkan.

Kerja-kerja menggali mayat berkenaan yang ditanam di pinggir rumah mereka yang dianggarkan sedalam 0.7 meter dijalankan oleh polis dan pakar forensik pada pukul 10 pagi ini.

Mayat bayi itu kemudiannya dibawa ke bilik mayat Hospital Kuala Terengganu (HKT) untuk bedah siasat dan kemudiannya dituntut oleh anggota keluarga pasangan berkenaan untuk dikebumikan di Marang lewat petang ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Mohd. Arif Fadzillah memberitahu, pasangan suami isteri yang berusia 27 dan 20 tahun itu kini ditahan reman bagi membantu polis menjalankan siasatan.

Menurut beliau, wanita itu dikatakan melahirkan anak pertamanya secara bersendirian di rumah ketika suaminya berada di tempat kerja. Suaminya bekerja dengan sebuah syarikat swasta di sini.

Menurut Mohd. Arif, sebaik sahaja pulang ke rumah kira-kira pukul 5.30 petang, lelaki tersebut telah membawa isterinya ke HKT bagi menjalani pemeriksaan.

Katanya, manakala anaknya yang dikatakan telah meninggal dunia itu dikebumikan di satu kawasan berhampiran rumahnya, tanpa membuat laporan polis.

``Setiap tindakan lelaki itu tidak dimaklumkan kepada sesiapa termasuk jiran-jiran atau keluarga mereka sendiri,'' katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Arif, apabila pasangan tersebut pergi mendapatkan pemeriksaan lanjutan di HKT pada 28 April lalu, pihak hospital yang mengesyaki sesuatu telah bertanya keadaan bayi mereka.

Bagaimanapun kata Mohd. Arif, pasangan suami isteri berkenaan telah memberitahu bahawa anak mereka telah diserahkan di bawah penjagaan ibu mereka.

Mohd. Arif berkata, setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada pasangan suami isteri itu, pihak hospital terus menghubungi polis bagi menjalankan siasatan.

``Ekoran itu, pada hari yang sama polis telah menahan pasangan tersebut untuk disoal siasat kelahiran serta kematian bayi berkenaan.

``Berdasarkan penerangan mereka, kira-kira pukul 10 pagi ini polis bersama pakar forensik telah pergi ke rumah pasangan berkenaan serta terpaksa mengeluarkan semula mayat bayi yang telah dikebumikan itu,'' jelas beliau.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan sama ada terdapat unsur jenayah berhubung kematian bayi itu.

Oleh: MOHD. LAZIM ENDUT

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum