Make your own free website on Tripod.com

Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Bekas pegawai pilihan raya didenda RM80,000

IPOH 3 Mei - Bekas Pegawai Pilihan Raya Negeri Perak, Nik Mustafa Nik Mat, hari ini dihukum denda RM80,000 atau 16 bulan penjara setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, terhadap lapan tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM63,900 melalui lapan pesanan kerajaan, enam tahun lalu.

Nik Mustafa, 49, didenda maksimum RM10,000 atau penjara dua bulan bagi setiap kesalahan tersebut.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim B. Sarala Pillai berkata, mahkamah menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira keadaan kesihatan tertuduh dan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Katanya, di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1961, tertuduh boleh dihukum denda RM10,000 atau penjara lima tahun.

``Saya hairan bagaimana perkara ini boleh berlaku dalam satu sistem pengendalian (urusan pembelian) sehingga tertuduh sanggup mengambil kesempatan untuk melakukan pecah amanah,'' katanya.

Tambah Sarala, pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes mereka tanpa sebarang keraguan yang munasabah.

Nik Mustafa yang diwakili oleh peguam bela Kerpal Singh membayar denda tersebut pada pukul 3.10 petang dan akan mengemukakan rayuan.

Tertuduh merayu hukuman ringan kerana menghidap penyakit kencing manis dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Badan Pencegah Rasuah (BPR) Azam Baki.

Nik Mustafa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, dituduh mengemukakan tuntutan itu kepada Pengarah Cawangan, Jabatan Akauntan Negara Negeri Perak, antara 15 Jun hingga 5 Oktober 1995.

Dia dituduh mengemukakan pengesahan palsu bahawa Sun Equipment Trading telah mencetak transparensi, menyewa 25 projektor slaid dan mencetak 5,550 helai kulit Buku Daftar Pemilih 1995.

Dia juga dituduh mengemukakan pengesahan palsu bahawa Sun Equipment menyewa dua buah komputer peribadi, membekalkan perkhidmatan tambahan mencetak poster penerangan pendaftaran pemilih 1995 dan penyelenggaraan 20 unit komputer rangka utama.

Selain itu, dia dituduh membuat pengesahan palsu tentang bekalan khidmat memasang pita dan tali keselamatan pusat mengundi serta khidmat mencetak fail bantahan dan semakan pilihan raya umum 1995.

Nik Mustafa yang mengaku tidak bersalah terhadap kelapan-lapan tuduhan itu dibicarakan di bawah Seksyen 4 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Disemak 1971 - Undang-Undang Malaysia Akta No. 57). Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh: NOR ZAINAH NORDIN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum