Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 04 Mei 2001

Anggota al-Ma'unah nafi menyamar tentera

KUALA LUMPUR 3 April - Seorang anggota kumpulan Al-Ma'unah, Kamarudin Mustafar menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia menyamar sebagai tentera kerana memakai pakaian celoreng pasukan keselamatan itu yang diberikan oleh ketuanya, Mohd. Amin Mohd. Razali di Bukit Jenalek, Sauk Perak, pada 2 Julai tahun lalu.

Kamarudin mengatakan pada pendapatnya mereka (anggota Al-Ma'unah) telah mendapat kebenaran untuk memakai pakaian tentera.

Dia mendakwa perkara tersebut sudah diberitahu oleh Mohd. Amin kepadanya ketika berada di markas kumpulan itu di Klang, Selangor.

``Amin kata dia telah minta kebenaran daripada pihak atasan tentera,'' kata Kamarudin ketika menjawab soalan dalam pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Mohd. Yusof Zainal Abidin.

Kamarudin, 41, seorang inspektor bahagian penapisan minyak kilang Petronas memberi keterangan membela diri atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dia menghadapi tuduhan itu bersama 18 anggota Al-Ma'unah yang lain termasuk Mohd. Amin.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat dan boleh dikenakan denda jika tidak dihukum mati.

Pada perbicaraan yang masuk hari ke-72 hari ini, tertuduh itu disoal balas oleh pendakwa raya mengapakah dia percaya dengan kata-kata Mohd. Amin.

Kamarudin menjawab bahawa dia mempercayai Mohd. Amin kerana peribadinya yang dilihat sebagai seorang yang warak dan selalu menasihati untuk membuat kebaikan.

``Pada malam itu (2 Julai) saya anggap saya membuat latihan bersama tentera,'' kata Kamarudin.

``Latihan apa dengan menaiki Pajero?'' tanya pendakwa raya.

``Saya tidak tahu latihan jenis apa dan saya percaya kata-kata Amin,'' jawab Kamarudin lagi.Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin pula mencelah: ``Adakah latihan senjata atau berkawad?''

Kamarudin berkata, dia tidak tahu.

Tertuduh itu mendakwa, itulah kali pertama dia memakai pakaian celoreng tentera.

Perbicaraan bersambung pada Selasa ini.

Oleh: KAMARIAH AHMAD

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum