Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Kes culik: Tiga anggota polis ditahan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Tiga anggota polis termasuk seorang yang berpangkat cif inspektor ditahan setelah dipercayai terlibat dalam kes menculik dan memeras ugut seorang pengedar video cakera padat (VCD) di Setapak di sini, Isnin lalu.

Menurut sumber, selain pegawai sebuah maktab latihan polis di sini, dua lagi yang ditahan ialah seorang pemandu dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini serta seorang anggota Pasukan Gerak Khas (PGK) dari Bukit Aman.

``Mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun ditangkap semalam, dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk disoal siasat,'' katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Meor Che Hussein Mahayuddin ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tiga anggota polis terbabit.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan dua lagi lelaki yang juga dipercayai anggota polis yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Sumber itu memberitahu, dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lalu, lima lelaki dikatakan telah datang ke rumah pengedar VCD berkenaan di Setapak untuk tujuan pemeriksaan.

``Ketika itu, mangsa yang berusia 31 tahun berada di rumah bersama keluarganya.

``Anggota polis terbabit kemudiannya menyerbu sebuah bilik dan merampas sejumlah wang dan beratus-ratus keping VCD lucah bernilai hampir RM10,000,'' katanya.

Sumber itu menambah, mereka kemudiannya membawa mangsa menaiki sebuah van polis sebelum meninggalkannya di Bulatan Pahang di sini.

Tambahnya, mangsa kemudian terserempak dengan rakannya dan mengekori van yang dinaiki oleh empat anggota polis terbabit yang menuju ke Bukit Aman.

``Mangsa kemudian membuat laporan di sebuah balai polis pada kira-kira pukul 7.30 malam,'' katanya.

Oleh: SUFFIAN ABU BAKAR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum