Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 05 Mei 2001

Kadar jenayah turun 8.3%

MELAKA 4 Mei - Kadar kejadian jenayah yang berlaku di seluruh negara menurun sebanyak 8.3 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari berkata, sebanyak 39,800 kes jenayah keganasan dan harta benda dilaporkan dalam tempoh tersebut pada tahun ini, iaitu berkurangan sebanyak 3,700 kes berbanding 43,500 kes pada tahun lepas.

Beliau bagaimanapun berkata, kadar penyelesaian kes jenayah dalam suku pertama tahun ini hanya mencapai 31 peratus sungguhpun sasaran yang ditetapkan ialah 35 peratus.

``Namun kadar penyelesaian kes jenayah ini berjaya melepasi sasaran 20 peratus yang ditetapkan oleh pihak polis antarabangsa (Interpol) bagi tempoh tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pencegahan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kes-kes jenayah di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Perak turut berkurangan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, di Selangor sahaja berlaku pengurangan sebanyak 1,400 kes dalam tempoh berkenaan selain Kuala Lumpur (1,100 kes), Johor (660 kes) dan Perak (400 kes).

Di Melaka, menurutnya, kadar kegiatan jenayah menurun sebanyak satu peratus apabila 1,300 kes dilaporkan dalam tempoh tersebut iaitu kurang 18 kes berbanding tahun lepas.

``Sebanyak 441 kes jenayah dilaporkan berlaku di negeri ini pada bulan lalu berbanding 463 kes pada bulan Mac,'' katanya sambil menambah kadar penyelesaian kes di negeri ini ialah 35.4 peratus.

Jamil memberitahu, polis sentiasa berusaha mengurangkan kegiatan jenayah dengan mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk sekolah dan masyarakat.

``Kita juga akan mempertingkatkan usaha pencegahan jenayah dengan mendapatkan maklumat daripada pihak perisik,'' ujarnya.

Mengenai keengganan orang ramai bekerjasama dengan polis, katanya, polis telah berusaha untuk memudahkan kerjasama itu dijalin tetapi dalam hal-hal tertentu, ada prosedur yang perlu dipatuhi.

``Bagaimanapun kajian sedang dijalankan bagi menghindarkan rasa takut saksi untuk bekerjasama dengan polis disebabkan kemungkinan ugutan atau tindak balas oleh pihak tertentu,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, laporan yang diterima menunjukkan terdapat bekas-bekas penagih dadah yang terlibat dalam jenayah kecil-kecilan seperti mencuri untuk menampung pembelian dadah.

Jamil berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung masalah tersebut.

Oleh: AMIRUDDIN HARUN

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum