Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Dua beranak terselamat rumah dirempuh treler


MUNAH yang terselamat daripada maut bersama menantunya di hadapan rumah mereka yang musnah selepas dirempuh sebuah lori treler di Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu semalam.

HULU TERENGGANU 5 Mei - Pepatah `Berpantang maut sebelum ajal' memang tepat ditujukan kepada dua beranak yang terselamat walaupun sebuah lori treler yang sarat dengan muatan simen merempuh rumah kedai mereka di Kampung Bukit Diman dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 12 malam itu, Munah Chik, 52, bersama anaknya Mustaffa Tahar, 26 yang sedang tidur terkejut apabila mendengar bunyi dentuman dan sekelip mata sebahagian daripada rumah mereka ranap.

Munah yang tinggal di situ sejak tahun 1985, berkata, lori itu ditinggalkan oleh pemandunya untuk minum di sebuah kedai makan sejauh kira-kira 200 meter dari tempat kejadian dan tiba-tiba bergerak sendiri ke arah rumah kedainya.

Menurut beliau, lori itu dipercayai menggelunsur ke rumah kedainya kerana diletakkan di kawasan tanah tinggi dan beliau bernasib baik lori tidak melanggar bahagian bilik tidurnya.

Kelindan lori yang sedang tidur di dalam lori berkenaan ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

``Mak cik terkejut bila dengar bunyi berdentum, lepas tu bila tengok rumah dah runtuh sama sekali,'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dia mendakwa menanggung kerugian hampir RM30,000 akibat kejadian itu apabila peralatan perniagaan makanan dan struktur rumahnya musnah.

Munah yang mempunyai tiga orang anak berkata, dia dan Mustaffa terpaksa berpindah dan menumpang sementara di rumah anaknya, Ani Ismail, 30, yang terletak tidak jauh dari situ, manakala, anak bongsunya, Muzilawati Tahar, 18, kini berada di Melaka.

``Buat masa ini mak cik tidak dapat berbuat apa-apa sebab berniaga makanan adalah sumber pendapatan mak cik sekeluarga, dah jadi macam ini tak tahulah, keluhnya.

Bagaimanapun, Munah tetap bersyukur kerana dia dan anaknya terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan, Mohd. Ayob Maaruf, 39, memberitahu dia ketika itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kota Bharu.

``Saya meletakkan lori di tepi jalan untuk berhenti minum dan terkejut melihat lori saya tiba-tiba bergerak dan melanggar rumah kedai itu,'' katanya yang bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Awang ketika dihubungi berkata, polis telah menjalankan siasatan mengenai kejadian dan akan mengambil tindakan saman di atas kecuaian pemandu lori berkenaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Oleh: ABDUL RAHMAN SALLEH

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum