Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 06 Mei 2001

Rakyat akan bersyukur lihat gambar kesengsaraan


ABDULLAH Ahmad Badawi menerima gambar mengenai kesempitan hidup pendatang di Amerika Syarikat daripada Ahmad A. Talib sambil diperhatikan Conrad J.Van Tooren (di sebelah kanannya) dan Azman Hashim di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 Mei - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya rakyat Malaysia yang melihat gambar-gambar rusuhan dan pembunuhan kejam di negara lain, akan bersyukur kerana dapat hidup dalam negara ini yang aman dan mempunyai iklim politik stabil.

Timbalan Perdana Menteri ketika berucap melancarkan Pameran Foto Media Dunia 2001 di Mid Valley Megamall hari ini berkata, setiap gambar yang dipamerkan membawa mesej tersendiri.

``Ia menjadikan rakyat Malaysia lebih bersungguh-sungguh mengekalkan keamanan dan kemakmuran yang telah biasa kita nikmati,'' katanya.

Sebanyak 207 foto terbaik yang memenangi pertandingan World Press Photo of The Year dipamerkan dari semalam hingga 13 Mei ini. Ia meliputi antaranya gambar-gambar kesengsaraan pelarian Chechen, gerakan intifada rakyat Palestin menentang rejim Israel, wabak ebola di Zaire sehinggalah kesempitan hidup pendatang di Amerika Syarikat.

Pertandingan tahunan berprestij itu berjaya menarik penyertaan 3,938 jurugambar dari 122 negara yang menghantar 42,321 penyertaan.

Di Malaysia, pameran itu dianjurkan oleh New Straits Times (NST) dengan kerja sama Kedutaan Belanda dengan Arab-Malaysian Merchant Bank Berhad menjadi penaja utama.

Pengarang Kumpulan NST Sdn. Bhd., Datuk Ahmad A. Talib, Duta Belanda, Conrad J.Van Tooren dan Pengerusi Kumpulan Arab-Malaysia, Tan Sri Azman Hashim turut hadir pada majlis pelancaran hari ini.

Abdullah menyifatkan kerjaya jurugambar media sangat merbahaya dan pada masa yang sama berperanan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi.

Menurutnya, banyak gambar mengenai penderitaan dan pengabaian yang dirakam oleh lensa jurugambar berjaya menimbulkan kesedaran dan menggerakkan tindakan pihak bertanggungjawab.

``Gambar-gambar yang dipamerkan di sini merupakan pengiktirafan kepada jurugambar media yang menyabung nyawa bagi memastikan dunia melihat apa yang sebenarnya berlaku di sebelah lain dunia,'' katanya.

Beliau berpendapat dunia jurugambar bukan sekadar menjadi `paparazzi' menjejak `orang terkenal' sehingga dianggap pengacau sebaliknya melibatkan banyak sumbangan positif.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum