Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Komputer diubahsuai jadi mesin slot perjudian

KUALA LUMPUR 7 Mei - Pengusaha pusat-pusat video haram yang berjaya dilumpuhkan dalam operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa tahun lalu kini mengubah taktik operasi dengan menjadikan komputer sebagai alat perjudian.

Komputer yang digunakan telah diubahsuai menjadi `mesin slot' dengan meletakkan cip ke dalam sistem pemprosesan pusat (CPU) dan cara mengendalikannya pula menggunakan papan kekunci.

Sebelum ini permainan video judi seperti lumba kuda, lumba itik dan `jackpot', disediakan dalam mesin berbentuk kabinet atau kekotak dan para pemain akan meletakkan syiling di tempat yang disediakan.

Namun dalam bentuk baru itu, pemain akan membayar sejumlah wang kepada pengusaha sebelum dibenarkan bermain judi di komputer yang telah diubahsuai itu.

Tinjauan Utusan di beberapa tempat di ibu negara termasuk di Jalan Chow Kit di sini, mendapati beberapa pengusaha kedai meletakkan komputer-komputer yang telah diubahsuai menjadi mesin jackpot.

Bagi mengelirukan pihak berkuasa, ada pengusaha kedai yang turut meletakkan meja snuker. Malah menurut satu sumber, kegiatan itu kini dipercayai berleluasa di seluruh negara.

``Dipercayai tempat-tempat lain sekitar Lembah Klang, Seremban, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Ipoh turut menawarkan perniagaan yang serupa,'' kata sumber berkenaan dalam reaksinya berhubung kegiatan haram terbaru itu.

Kerajaan pada 4 Oktober tahun lalu membuat keputusan muktamad mengharamkan pusat permainan video di seluruh negara setelah mengambil kira betapa berbahaya dan besarnya masalah sosial yang dicetuskan oleh permainan tersebut.

Serentak dengan itu, kabinet yang membuat keputusan drastik tersebut turut mengarahkan semua lesen permainan video yang telah dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa ditarik balik dalam tempoh dua bulan berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkannya menegaskan, tiada lesen baru berkaitan permainan video akan dikeluarkan.

Bahkan beliau berkata, tindakan tegas dari segi undang-undang akan diambil terhadap penghuni atau pemilik premis atau mana-mana pihak yang masih meneruskan operasi pusat video haram.

Ekoran itu, banyak operasi dijalankan di seluruh dan beribu-ribu mesin video haram dirampas oleh pihak berkuasa termasuk yang disorokkan di rumah, kawasan setinggan dan kilang. Bagaimanapun difahamkan, selepas operasi besar-besaran itu, tiada langkah susulan termasuk pemantauan dilakukan sehingga pengusaha -pengusaha berkenaan `muncul kembali' dalam bentuk operasi baru.

Menurut sumber itu lagi, permainan judi berkomputer wujud di Lembah Klang sejak beberapa bulan yang lalu.

``Ada antara mereka yang melakukan kegiatan haram ini secara terbuka dan ada juga yang dibuat secara sulit dan tersorok.

``Apa yang menghairankan, apakah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis tidak mengetahui kewujudan kedai-kedai dan pusat yang menjalankan kegiatan haram ini?,'' tambahnya lagi.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum