Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 08 Mei 2001

Hasrat anak ziarah jenazah bapa tidak kesampaian

IPOH 7 Mei - Hasrat seorang anak untuk menziarahi jenazah bapanya tidak kesampaian apabila dirinya turut terkorban bersama dua anaknya dalam kemalangan di Kilometer 27.7 Jalan Raya Timur Barat-Bersia, dekat Grik, kira-kira 143 kilometer dari sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Trafik Negeri, DSP Hamza Taib berkata, mereka yang terkorban ialah Faizah Salleh, 29 dan dua anak lelakinya Mohd. Haziq Mohd. Ayub, 3 bulan dan Mohd. Zaki Mohd. Ayub, satu setengah tahun.

Faizah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala kedua anaknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Grik, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu kereta, Mohd. Ayub Yaakub, 29, suami kepada Faizah cedera parah di kaki, manakala adik Faizah, Norasmarini Salleh, juga cedera parah di bahagian kaki.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Gerik.

Hamza berkata kejadian itu berlaku pada pukul 2.50 petang di satu selekoh ketika Mohd. Ayub dan keluarga sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Kota Bharu bertembung dengan sebuah teksi yang datang dari arah Taiping ke Kota Bharu.

Katanya, pemandu teksi Shamsuddin Md. Yassin, 64, dan penumpangnya yang hanya dikenali sebagai Zawahir Awang Teh, 38, Norazarina Mohd Sabri, dan Norhalimah Saadiah, masing-masing tujuh tahun dan Fatimah, 6 tahun cedera ringan dan dirawat di hospital tersebut sebagai pesakit luar.

Mohd. Ayub dan adik iparnya Norasmarini dipindahkan ke Hospital Ipoh petang ini untuk rawatan selanjutnya akibat kecederaan serius di kedua-dua kaki mereka.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari Grik dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan mangsa daripada kedua-dua kenderaan yang remuk itu. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum