Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Kanak-kanak mati disyaki disembelih ibu sendiri


DUA orang jururawat Hospital Kangar mententeramkan Mohd. Firdaus yang lehernya dipercayai dikelar oleh ibunya di kuarters guru Sekolah Kebangsaan Salang di Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KANGAR 9 Mei - Seorang kanak-kanak berumur empat tahun, Mohd. Taufik Mohd. Akhir mati dipercayai disembelih oleh ibunya sendiri di rumahnya di kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Salang dekat sini pagi ini.

Adiknya, Mohd. Firdaus, 2, pula cedera parah akibat dikelar di leher juga oleh ibunya dalam insiden yang menyayat hati.

Dia kini sedang dirawat di Hospital Kangar.

Ibu kanak-kanak itu, bekas pelajar jurusan syariah dari Universiti Malaya, menghilangkan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Deputi Supritendan Ariffin Sutan berkata, Mohd. Taufik yang hampir putus leher itu mati di tempat kejadian.

Katanya, kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika dua beradik tersebut tinggal bersama ibunya, Hamidah Tomik, 37, di kuarters tersebut antara pukul 7.15 hingga 10 pagi.

Ariffin memberitahu, semasa kejadian bapa mangsa, Mohd. Akhir Bakar, 36, keluar mengajar di SK Jalan Raja Syed Alwi kira-kira lima kilometer dari rumahnya manakala dua lagi anaknya, Nurul Iman Izati, 8, serta Mohd. Hafiz, 7, ke sekolah berhampiran rumahnya.

Beliau berkata, pada mulanya bapa mangsa diberitahu kejadian itu melalui telefon pada pukul 12.30 tengah hari oleh seorang anaknya, Nurul Iman Izati yang baru pulang dari sekolah bahawa dia tidak dapat masuk ke rumah kerana dikunci dari dalam.

Katanya, Mohd. Akhir yang bergegas pulang mendapati anaknya yang bongsu, Mohd. Firdaus menangis di pintu rumah dan mempunyai kesan darah di leher.

Beliau kemudian memecah pintu rumah dan mendapati Mohd. Taufik berada dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan sudah meninggal dunia dan mendapati isterinya tiada di rumah.

``Bapa itu membawa kedua-dua anaknya ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut,'' ujarnya.

Ariffin menambah Hamidah yang berasal dari Sarawak dilaporkan baru keluar dari Hospital Kangar semalam setelah mendapat rawatan penyakit mental.

Bagaimanapun, setakat ini Hamidah menghilangkan diri dan dipercayai keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi selepas kejadian menyayatkan hati itu.

Polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh Hamidah untuk menyembelih dua anaknya di luar rumahnya.

Pasukan polis sedang mencari ibu mangsa yang melarikan diri selepas kejadian dengan menggunakan anjing pengesan.

Mohd. Akhir ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kangar berkata, isterinya tidak menunjukkan reaksi luar biasa ketika dia keluar mengajar pukul 7.15 pagi tadi.

Katanya, dia pada mulanya ingin menghantar dua anaknya itu ke rumah rakannya tetapi membatalkan hasrat itu apabila isterinya bertambah sihat setelah baru keluar hospital selepas mendapat rawatan mental.

Sebelum beliau keluar dari rumah, tambahnya, isterinya meminta wang RM10 untuk membeli kuih sarapan pagi.

``Isteri saya sebelum ini seorang ibu yang penyayang dan tidak pernah bertindak kasar terhadap anak-anaknya. Saya tidak menyangka isteri saya boleh bertindak sedemikian terhadap dua anaknya itu,'' katanya.

Oleh: ZAID MOHD. NOOR

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum