Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Lelaki mati dijerut baju tersangkut di kipas

KUANTAN 9 Mei - Seorang lelaki warga Indonesia mati setelah lehernya dijerut baju yang tersangkut pada kipas di sebuah kolam ternakan udang di Kampung Piangur, Rompin petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supritendan Mokhtar Mohd. Ali berkata, lelaki berkenaan, Rahmat Hidayah, 26, mati dalam perjalanan ke Hospital Rompin.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, mangsa dikatakan sedang menaiki sebuah sampan di dalam kolam itu.

``Bagaimanapun tiba-tiba bajunya dikatakan tersangkut pada sebuah kipas di dalam kolam itu, menyebabkannya tertarik ke bawah dan pakaiannya menjerut lehernya,'' katanya di sini hari ini.

Katanya, kejadian itu telah disedari oleh rakan mangsa yang lantas mematikan kipas berkenaan.

``Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Rompin, namun dia tidak dapat diselamatkan apabila meninggal dunia ketika dalam perjalanan,'' katanya.

Sementara itu di KUALA TERENGGANU Bernama melaporkan, seorang mekanik yang sedang membaiki enjin sebuah bot nelayan melecur apabila enjin bot berkenaan meletup dan terbakar di pangkalan Bukit Tunggal di sini, semalam.

Abu Bakar Hamid, 46, yang melecur di muka serta kedua belah tangan dan kaki telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu.

Beliau yang ditemui di hospital itu hari ini berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.

"Sebelum itu saya berhenti minum dan baru hendak menyambung semula kerja apabila tiba-tiba bot itu meletup dengan kuat dan terbakar," katanya.

Pada perkembangan lain, seorang rakyat Indonesia terbunuh apabila van yang dinaikinya terbalik selepas bergesel dengan sebuah kereta di Kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu dekat sini, semalam.

Agong Prasangko, 21, yang duduk di bahagian depan van itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan kepala dan badan, kata Pegawai Turus Hal Ehwal Awam Polis Terengganu, ASP Mohd. Nor Ali.

Beliau berkata kejadian berlaku pada pukul 7.20 pagi semasa van yang membawa lima penumpang itu dalam perjalanan ke Setiu.

Pemandu dan penumpang lain van berkenaan hanya cedera ringan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum