Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Polis terlibat jenayah tidak dilindungi

KUCHING 9 Mei - Pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam kes jenayah tidak akan diberi perlindungan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai hari ini.

``Semua kes jenayah yang melibatkan anggota saya akan dikendalikan sebagai kes yang biasa. Jika mereka terlibat, tindakan akan diambil termasuk pendakwaan di mahkamah seperti dituntut oleh undang-undang," katanya selepas merasmikan persidangan ketua-ketua jabatan siasatan jenayah di sini.

Norian berkata polis tidak akan memberi sebarang keistimewaan kepada anggotanya yang didakwa di mahkamah.

Katanya, ini termasuk perbicaraan yang sedang berjalan membabitkan dua pegawai dan dua anggota polis yang terlibat dengan kes jenayah.

Selain penahanan pegawai dan anggota polis di Setapak, Kuala Lumpur kerana terlibat dalam kes culik baru-baru ini, seorang lagi pegawai polis ditahan kerana menyamun wang tunai RM4,000 daripada pemilik kedai nombor ekor di Kajang, Selasa lepas, katanya.

Norian berkata beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa 83,000 anggota polis di seluruh negara bersih daripada kegiatan yang boleh mencemar imej polis.

Katanya, jabatan itu kini memberi perhatian serius terhadap anggota polis yang hidup lebih daripada kemampuan mereka dan memberi jaminan bahawa masalah itu akan ditangani secara berkesan.

Mengenai kes jenayah, Norian mahu jabatan siasatan jenayah meningkatkan kualiti penyiasatan.

``Kita sedang memberi tumpuan mempertingkatkan aspek ini supaya polis boleh menang semua kes perbicaraan di mahkamah,'' katanya.

Beliau berkata kegagalan polis mempertahankan kes di mahkamah adalah disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan keterangan, faktor saksi dan kualiti pendakwaaan.

Norian berkata walaupun polis berjaya menurunkan kadar jenayah indeks pada keseluruhannya sebanyak 1.15 peratus tetapi jenayah indeks keganasan masih mencatatkan peningkatan sebanyak 2.11 peratus yang menunjukkan kelemahan dalam penyelesaian kes jenis keganasan.

Norian juga mahu semua kontinjen polis di seluruh negara bekerja keras dalam menurunkan kadar jenayah sekurang-kurangnya ke tahap lima peratus dan kadar penyelesaian jenayah indeks kepada 35 peratus.

Mengenai persidangan itu, beliau yakin satu perintah tetap yang khusus dapat dicapai sebagai panduan kepada pegawai dan anggota dalam menghadapi cabaran yang timbul daripada perspektif hak asasi manusia.

``Jabatan bimbang tanpa garis panduan, akan mengakibatkan kealpaan di kalangan pegawai-pegawai dan boleh merumitkan keadaan menurut asas perundangan bahawa tidak faham mengenai undang-undang bukan satu alasan,'' katanya.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dr. Yusuf Nook yakin jika masalah kecurian kenderaan terutamanya motosikal dapat dibendung, kadar jenayah di negeri ini dapat diturunkan lagi.

Katanya dalam usaha mengatasi kecurian motosikal dan kereta, selain daripada menjalankan operasi jenayah, sekatan jalan raya akan dipertingkatkan di lokasi yang strategik di kawasan sempadan seperti di daerah Lubok Antu, Bau, Lundu dan Serian.

Sepanjang suku tahun pertama tahun ini, 471 motosikal dicuri dan daripada jumlah itu, 224 kes atau 47.5 peratus berjaya diselesaikan manakala kes kecurian kereta pula, daripada 57 kecurian, 29 kes atau 50.9 peratus berjaya diselesaikan. - Bernama

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum