Make your own free website on Tripod.com

JENAYAH & KEMALANGAN

Berita Harian 10 April 2001

Bekas penyanyi selamat daripada hukuman gantung


SHAH ALAM, Isnin – Bekas penyanyi rock, Zanorain Abdul Latif @ Aziz, hari ini terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini, menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun selepas dia mengaku salah atas tuduhan pindaan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun, lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus menjatuhkan hukuman itu bermula tarikh Zanorain ditahan iaitu 14 Julai 1993 selepas dia mengaku salah mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Zanorain, 32, dijatuhkan hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, lapan tahun lalu, selepas didapati bersalah membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menerima rayuannya dan memerintahkan satu perbicaraan semula dijalankan.

Perbicaraan semula itu sepatutnya bermula hari ini selama 10 hari di hadapan tujuh juri yang dilantik, sama seperti kesnya dibicarakan lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan, apabila Zanorain membuat keputusan untuk mengaku salah selepas Timbalan Pendakwaraya, K Mangiarkarasi meminda pertuduhan kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Zanorain didakwa menyebabkan kematian Fatin Nur Haziqah Abdul Halim di No 34, Tingkat 1, Blok B, Rumah Flat Taman Kosas Ampang antara jam kira-kira 11.30 malam 12 Julai 1993 dan kira-kira jam 3.30 pagi, 13 Julai 1993.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan ibu Fatin, Maimunah Othman yang juga pelayan di Disko Ros Merah, Brickfields, tinggal bersama di Flat Taman Kosas selepas sebulan berkenalan pada pertengahan Mei 1993.

Tertuduh yang menganggur akan menjaga Fatin yang berusia dua tahun tiga bulan apabila Maimunah keluar kerja. Dia selalu memarahi dan menengking Fatin selain kerap menampar dan mencubit serta memukul menggunakan rotan bulu ayam.

Pada 12 Julai 1993, selepas Maimunah keluar bekerja pada kira-kira jam 8.30 malam, tertuduh memberi Fatin bubur yang dimasak oleh Maimunah dan menyuruhnya tidur kira-kira jam 10.30 malam.

Fatin yang kurang sihat membuang air besar beberapa kali di bilik tidur dan hadapan televisyen, menyebabkan tertuduh marah lalu memukulnya dengan tangan sebelum memijak perut Fatin sebanyak dua kali sehingga kanak-kanak itu muntah-muntah dan kelihatan lemah.

Apabila Maimunah pulang kira-kira jam 3 pagi, tertuduh memberitahu Fatin sedang nyenyak tidur dan Maimunah pun terus tidur.

Keesokan harinya kira-kira jam 10 pagi, tertuduh bangun dari tidur dan mendapati Fatin sudah tidak bernyawa lagi menyebabkan dia panik lalu membawa mayatnya ke bilik air dan memasukkan ke dalam baldi dalam keadaan menonggeng.

Maimunah yang bangun pada jam 3 petang mendapati Fatin tiada di katil dan menemui anaknya itu berada dalam sebuah baldi berisi air di bilik air rumah mereka dengan keadaan tertonggeng.

Peguam bela, Gobind Singh Deo, dalam rayuannya meminta mahkamah menggunakan budi bicara untuk meringankan hukuman ke atas tertuduh yang rela mengaku salah atas tuduhan pindaan sekali gus menjimatkan kos dan masa mahkamah, memandangkan kes itu sepatutnya dibicarakan dengan juri.

“Tertuduh juga berusia 32 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 10 tahun. Ini adalah kesalahan pertamanya. Tertuduh telah insaf ketika dalam penjara,” katanya.

Sementara itu, Ma-ngiarkarasi berkata mahkamah perlu menjatuhkan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada tertuduh dan pesalah yang lain.

Menurutnya, sebagai seorang dewasa, tertuduh sepatutnya menjaga Fatin yang berusia dua tahun tiga bulan dengan kasih sayang bukan menganiaya kanak-kanak itu dengan teruk sekali seperti yang dapat dilihat dalam gambar yang ditunjukkan kepada mahkamah.

“Hampir keseluruhan tubuh badan simati mempunyai kesan-kesan lebam dan kecederaan,” katanya.

Berikutan keputusan Zanorain mengaku salah, perbicaraan di hadapan juri bagi hukuman mati yang sepatutnya menjadi perbicaraan juri terakhir di negara ini tidak menjadi kenyataan.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi