Browse Our Astrological Reports

JENAYAH & KEMALANGAN

Utusan Malaysia 10 Mei 2001

Kementerian kesan cakera padat haram melalui forensik

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat kerjasama Persekutuan Industri Phonografi Antarabangsa (IFPI) bagi mengesan pengeluar cakera padat cetak rompak menerusi kaedah forensik.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi kaedah teknikal berteknologi tinggi itu, setiap cakera padat cetak rompak di pasaran boleh dikesan oleh pengeluar asalnya.

Dengan itu, katanya, pihak berkuasa akan lebih mudah bertindak kerana laporan makmal yang dijalankan ke atas cakera padat cetak rompak itu akan memberikan maklumat tentang pengeluarnya.

Menurutnya, bantuan itu ditawarkan kepada pihak kementerian secara percuma oleh Timbalan Penyelaras Penguatkuasaan Anticetak Rompak IFPI bagi Asia Pasifik, Rodney Tsui hari ini.

``Kita menyambut baik tawaran itu kerana ia akan menjadikan usaha kementerian untuk memerangi jenayah cetak rompak akan lebih berkesan,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca kabinet di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, sebanyak 33 buah syarikat telah diberikan lesen mengeluarkan cakera optik di bawah Akta Cakera Optik 2000 daripada 48 syarikat yang memohon.

Katanya, kesemua syarikat terbabit diberikan lesen selepas mereka memenuhi syarat-syarat utama yang dikenakan terutama mendapat kebenaran dari pemegang hak cipta.

Selain itu, katanya, mereka juga dikenakan beberapa syarat tambahan seperti menyediakan laporan bulanan dan menyimpan rekod tentang jumlah cakera padat yang dihasilkan.

``Mereka juga diingatkan supaya tidak mengeluarkan jumlah cakera padat melebihi jumlah yang dibenarkan oleh pemegang hak cipta walaupun kilang mereka mempunyai kapasiti yang besar,'' katanya.

Katanya, pihak kementerian juga mengingatkan mereka tentang hukuman berat sekiranya mereka didapati menyalahgunakan lesen yang diberikan kepada mereka.

Pada masa yang sama, kata Muhyiddin, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan termasuk meminta bantuan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pihak berkuasa tempatan boleh membantu dengan mengambil tindakan di bawah undang-undang kecil di bawah bidang kuasa mereka terutama menyekat atau menamatkan lesen perniagaan.

Setakat ini, katanya, pihaknya telah mengenal pasti lebih 5,300 tempat yang menjadi pusat pengedaran cakera padat di seluruh negara termasuk di kedai-kedai video dan pasar malam.

``Daripada jumlah itu, 174 premis dikenal pasti melakukan kesalahan mengedar cakera padat cetak rompak berulang,'' katanya.

Muhyiddin juga memberi amaran kepada pengedar cetak rompak bahawa pihaknya juga akan `memasang kaki' bagi mengintip kegiatan mereka termasuk mengesan tempat tinggal dan punca bekalan cakera padat diperoleh.

``Kita serius dalam soal ini kerana matlamat kira ialah untuk mencari siapa sebenarnya pembekal utama,'' tegas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan bahawa terdapat lambakan cakera padat kosong dari Taiwan di pasaran Malaysia.

 

muka depan | agama | ekonomi | fatwa | jenayah & kemalangan | kolumnis | khas | pelancongan
pendidikan | pendatang asing | politik | rencana | sains dan teknologi | umum